Seorang pengunjung memilih periuk tanah liat di sebuah kedai di Little India Seremban pada 11 Januari 2022 sebagai persiapan akhir untuk menyambut perayaan Ponggal. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Persiapan sambutan Ponggal, Thaipusam tetap meriah meski terikat SOP

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Little India, Brickfields di sini menjadi tumpuan masyarakat India membuat persiapan untuk menyambut Ponggal atau pesta menuai Jumaat ini dan Thaipusam pada 18 Jan, sambil mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Tinjauan Bernama mendapati penjualan periuk tanah liat, tebu, susu dan daun kunyit agak laris manakala pakaian kuning untuk perayaan Thaipusam juga mendapat permintaan tinggi.

Penjual bunga M. Visakama, 34, berkata kebanyakan gerai menjual bunga mendapat banyak tempahan antaranya untuk kalungan bunga malai.

“Saya banyak menerima tempahan kalungan bunga sepanjang tempoh menjelang sambutan Ponggal dan Thaipusam,” katanya kepada Bernama di Little India di sini semalam.

R. Thanen, 27, berkata susu lembu segar yang dijualnya sering mendapat permintaan tinggi pada musim Ponggal dan Thaipusam, justeru harganya tahun ini meningkat sedikit memandangkan kedua-dua perayaan itu jatuh pada bulan yang sama.

Ponggal diraikan pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil dipanggil ‘Thai’ dan merupakan perayaan utama khususnya bagi komuniti petani.

Pada hari itu, masyarakat Tamil akan menyediakan Ponggal atau nasi manis dan menyampaikan doa kesyukuran kepada Surya Bhagavan (Dewa Matahari), bumi dan lembu.

Sehari selepas ‘Thai Ponggal’ adalah ‘Mattu Ponggal’ yang diraikan khas bagi haiwan lembu manakala hari ketiga sambutan Ponggal dikenali sebagai ‘Kanni Ponggal’ khusus bagi anak dara mendoakan agar dipertemukan dengan jodoh yang baik dan mendapat kehidupan yang bagus.

Thaipusam pula adalah perayaan yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan ‘Thai’ iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil untuk memperingati peristiwa iaitu Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati, bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hindu Sangam Malaysia Datuk R. S. Mohan Shan berkata tahun ini, waktu yang paling baik untuk menyediakan nasi manis adalah antara 7.30 pagi hingga 10.25 pagi dan dari 6.30 petang ke 9 malam bagi mereka yang tidak dapat melakukan Ponggal pada waktu pagi, namun beliau berkata dinasihatkan mengadakan Ponggal pada sebelah pagi.

Mohan turut menggesa masyarakat Tamil untuk menyambut Ponggal di rumah, terutama ketika negara masih bergelut dengan lonjakan kes Covid-19.

“Para penganut yang menyertai sambutan itu di kuil pula perlu memastikan pentadbiran kuil mematuhi norma SOP semasa,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :