Ashikin Abu Bakar menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) ketika tinjauan Media Selangor di Seksyen 19, Shah Alam pada 10 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

EXCO: Aplikasi parkir digital mudahkan pengguna, tidak terikat sempadan PBT

Hampir dua juta pengguna memuat naik aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) sekali gus menunjukkan pelaksanaan e-kupon SSP yang dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) mendapat sambutan.

Mulai April sistem e-kupon dikuat kuasa melibatkan 10 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantikan kaedah kupon parkir bergores.

Wartawan Selangorkini ALANG BENDAHARA, SHEEDA FATHIL dan PAN LI TING serta jurugambar MOHAMAD RAHEEMIE ARIFIN mendapatkan penjelasan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berhubung aplikasi itu pada 11 Februari lalu.

Sejak Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan sistem e-kupon, berapa ramai pengguna memuat naik aplikasi sistem ini?

Setakat semalam (10 Februari) seramai 1.89 juta pengguna memuat naik aplikasi Smart Selangor Parking (SSP). Ini bermakna kita akan mencapai dua juta pengguna tidak lama lagi. Saya yakin SSP merupakan aplikasi (parkir) nombor satu di Malaysia, paling ramai pengguna setakat ini. Peningkatan ini menunjukkan sambutan orang ramai terhadap SSP amat menggalakkan dan sangat baik.

Adakah ada rungutan memandangkan tinggal satu bulan setengah lagi untuk pelaksanaan penuh sistem parkir digital ini?

Sambutan amat menggalakkan, hanya terdapat segelintir pihak sahaja mengadu mengalami kesukaran mengguna aplikasi ini. Mereka mungkin kurang faham tetapi kita sudah menjelaskan bayaran parkir secara digital lebih mudah dan menjimatkan masa terutama bagi warga emas, individu yang tiada telefon pintar atau mereka dari luar Selangor.

Bagi mereka yang tiada telefon pintar boleh dapatkan e-kupon menerusi e-ejen berhampiran. Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SSDU bercadang untuk melaksanakan kempen kesedaran bagi menggalakkan lebih ramai memuat turun aplikasi SSP dalam masa terdekat.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menunjukkan aplikasi Smart Selangor Parking ketika temu bual bersama Selangorkini di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam pada 11 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI

Mengapa Kerajaan Negeri memberi tempoh hingga hujung Mac untuk orang ramai terus menggunakan kupon bergores?

Sebenarnya penggunaan kupon parkir bergores sudah berakhir 31 Disember 2021 tetapi disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai belum sempat habiskan kupon mereka. Justeru, kita ambil keputusan untuk melanjutkan sehingga hujung Mac.

Sekiranya Mac ini mereka belum sempat habiskan kupon kertas itu, Kerajaan Negeri dan SSDU akan memikirkan alternatif untuk tukar ke dalam bentuk kredit dalam SSP. Kaedah ini akan diumum kemudian sebab masih dalam kajian. Kita juga mungkin akan menyediakan kaunter penukaran dalam tempoh sebulan lagi.

Bagaimanakah mekanisme pelaksanaan sistem parkir digital ini di kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam dan Hulu Selangor?

Buat masa ini, di Sabak Bernam dan Hulu Selangor belum diwujudkan sistem parkir digital. Dua kawasan ini parkirnya masih percuma. Kita bercadang akan melaksanakan sistem parkir digital di dua daerah ini pada masa akan datang.

Setakat ini, hanya 10 PBT sahaja mengguna pakai SSP iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.

Boleh terangkan manfaat pelaksanaan e-kupon SSP. Apakah kebaikan penggunaannya melalui aplikasi ini?

Banyak manfaat (diperoleh) sejak melaksanakan sistem parkir digital antaranya menjimatkan penggunaan kertas, jimat masa, mudah dan lebih cepat. Sejak wujudnya aplikasi ini, kita menjimatkan penggunaan kertas sebanyak 981,159 kilogram (kg) iaitu mencecah hampir 1,000 tan kertas.

Kebaikan kepada pengguna pula ia memudahkan mereka. Tidak perlu lagi bersusah payah mencari kupon parkir kertas. Sebagai contoh, kupon parkir kertas perlu mengikut PBT, sekiranya seseorang itu tinggal di Sepang dan bekerja di Ampang Jaya, banyak kupon parkir mereka perlu beli mengikut di kawasan PBT di lokasi mereka berada.

Bagaimanakan bentuk dan pelaksanaan penguatkuasaan PBT di kawasan yang menggunakan sistem e-kupon?

Penguatkuasaan jadi lebih mudah. Penguat kuasa pun ada aplikasi sendiri. Mereka imbas nombor plat kenderaan untuk ketahui sama ada individu itu sudah bayar caj parkir secara digital atau tidak. Cara ini lebih mudah. Sekiranya tiada sistem ini individu itu perlu keluar daripada kenderaan dan membeli kupon kertas, mungkin dalam tempoh keluar mahu beli kupon kertas mereka boleh disaman. Sekiranya melalui digital, ia dapat dibayar secara terus. Penggunaan e-kupon juga menjimatkan kos tenaga kerja.

Berapa unjuran hasil atau pendapatan yang diperoleh melalui sistem e-kupon?

Jumlah terkini belum lagi diterima tetapi jika dibandingkan dua tiga tahun sebelum kita melaksanakan SSP, maklum balas daripada PBT sangat positif. Berdasarkan kajian kira-kira 30 hingga 50 peratus peningkatan pengguna bayar (caj) parkir, sebelum ini orang bukan tidak mahu bayar tetapi kaedah lama menyukarkan seperti adakalanya mesin rosak, tiket tidak keluar atau susah mahu membeli kupon mengikut PBT.

Apabila adanya sistem parkir digital, pengurusan parkir jauh lebih mudah. PBT tidak perlu melantik mana-mana syarikat kontraktor untuk menjaga penyelenggaraan mesin kerana ia melibatkan kos yang tinggi. PBT hanya perlu memastikan semua petak parkir dicat sekurang-kurangnya setahun dua kali. Aplikasi pula diselenggara SSDU.

Adakah sistem ini meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membayar caj parkir manakala kadar saman atau kompaun dapat dikurangkan?

Kadar saman kompaun masih sama, bergantung kepada tawaran dibuat PBT. Menariknya, orang ramai boleh membayar kompaun menerusi aplikasi SSP.

Pengawai Penyelaras Projek Smart Selangor Syaridan Abu Samah (kiri) bersama Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Smart Selangor Fazuin Mohd Yusoff menunjukkan aplikasi Smart Selangor Parking pada Majlis Pelancaran Pemakluman Penggunaan e-kupon Menerusi Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) Menggantikan Kupon Parking Kertas Bermula 3 Januari 2022 di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Boleh jelaskan mekanisme ejen e-kupon untuk orang ramai membuat bayaran parkir? Berapa banyak ejen dilantik dan lokasinya?

Kerajaan Negeri turut mempelawa lebih ramai menjadi e-ejen. Setakat ini, 80 permohonan menjadi e-ejen sudah dilulus manakala 25 lagi masih dalam proses permohonan. Mereka yang berminat boleh memohon menerusi aplikasi SSP, komisyen turut disediakan. Kerajaan negeri merancang memperluas ejen e-kupon di kedai serbaneka di seluruh Selangor.

Apa perancangan Kerajaan Negeri berkaitan sistem parkir pada masa akan datang?

Kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakan kawasan parkir terhad atau sistem parkir dua jam di kawasan tumpuan atau komersial. Dengan kaedah ini, kita dapat memberi kesaksamaan kepada semua. Sebagai contoh, di kawasan tumpuan tempat parkir dipenuhi dengan kenderaan pekerja berhampiran kawasan terbabit sehingga sukar untuk pengguna lain.

Justeru, kita bercadang untuk PBT menentukan lot parkir yang sesuai seperti di bank atau restoran popular. Bukan semua lot dihadkan, mungkin hanya beberapa lot sahaja. Ini bukan kaedah baharu, banyak negara luar sudah melaksanakannya. Di Malaysia ada di Kuala Lumpur. Selangor bakal laksana tidak lama lagi.

Apakah data raya (big data) diperoleh Kerajaan Negeri daripada pelaksanaan SSP?

Kita dapat kesan di mana tempat yang menjadi tumpuan. Daripada data itu, kita mungkin boleh merancang untuk membina tempat parkir bertingkat atau pelbagai kemudahan.

Mengenai isu banjir pula, bagaimana proses pembersihan pasca banjir yang dilaksanakan setakat ini. Sejauh mana kelancaran fasa dua pembersihan?

Pembersihan fasa pertama semuanya sudah selesai. Kini masuk fasa kedua. Sebagai contoh di kawasan Taman Sri Muda aduan agak tinggi kerana kawasan itu paling terjejas teruk. Justeru, Kerajaan Negeri melalui KDEB Waste Management (KDEBWM) dan PBT mengadakan pelbagai program termasuk gotong-royong besar-besaran di kawasan terjejas di Taman Sri Muda dan seluruh Selangor. Sekarang tempoh pembersihan fasa kedua, kita jangka selesai hujung Mac ini.

Boleh kongsi data proses pembersihan fasa satu dan dua melibatkan PBT dan KEDBWM? Berapakah kos yang dibelanjakan?

Kos pembersihan disediakan Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM20 juta untuk fasa satu dan dua. Namun, kita belum tahu berapa banyak sudah dibelanjakan setakat ini, kemungkinan hampir RM20 juta sudah digunakan termasuk yang akan diberikan kepada KDEBWM, PBT dan Worldwide Holdings.

Kita bayar juga kepada Worldwide Holdings kerana sejak pembersihan banjir mereka terpaksa mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir sahaja.

Sejauh mana proses pembersihan longkang tersumbat untuk elak kejadian banjir masa akan datang?

Proses pembersihan longkang masih diteruskan meskipun selesai operasi pembersihan banjir fasa kedua nanti. Kerajaan Negeri rancang untuk menangani isu banjir dengan memperluaskan longkang dan tinggikan ban. Ini melibatkan banyak agensi dan perbelanjaan yang besar.

Adakah pembersihan banjir ini menganggu kutipan sampah harian di kawasan tidak terjejas?

Perkara ini cabaran besar buat KDEBWM untuk memastikan kutipan sampah tidak terganggu tetapi mereka dapat melaksanakan sebaik-baiknya. Kutipan sampah normal di kawasan tidak terjejas di seluruh
Selangor dapat dijalankan seperti biasa, aduan ada cuma tidak banyak. Ini bermakna kita berjaya menangani masalah pembersihan banjir dan pada masa sama dapat menjalankan tugas kutipan harian seperti biasa.

 


Pengarang :