Penerima mengambil bantuan banjir ketika program Serahan Bantuan Banjir DUN Meru di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru, Klang pada 19 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 30,000 mangsa bah di Klang dapat bantuan negeri mulai esok

SHAH ALAM, 3 FEB: Lebih 30,000 keluarga terjejas banjir sekitar Klang Disember tahun lalu menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) secara berperingkat mulai esok.

Pegawai daerahnya berkata kira-kira 14,000 keluarga sudah menerima manfaat sementara yang lain diminta bersabar susulan pertindihan dan pertambahan permohonan.

“Mangsa kena bersabar kerana Pejabat Daerah dan Tanah Klang beri jaminan pemohon yang layak akan dapat bantuan,” kata Mohd Faizal Abdul Raji ketika dihubungi.

Beliau menambah sebanyak 70,000 borang permohonan diterima setakat ini dengan tempoh proses semakan yang panjang dibantu oleh pegawai daripada agensi lain.

“Harap mangsa faham kerana bukan hari ini mohon esok terus lulus dan dapat. Kita kena proses permohonan yang banyak selain memerlukan ramai staf,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi pemulihan prasarana selain bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

 


Pengarang :