Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir memantau kerja membersihkan longkang pada program gotong-royong pascabanjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 6 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

Sampah pukal masih banyak, pembersihan pascabanjir fasa dua dilanjut

SHAH ALAM, 25 FEB: Operasi pembersihan pascabanjir fasa dua di Taman Sri Muda, Seksyen 25 yang sepatutnya berakhir hujung Mac dilanjutkan ke satu tempoh susulan beberapa kekangan yang timbul.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata pekerja sepatutnya hanya memfokuskan pembersihan saliran, longkang dan parit namun terpaksa mengutip sampah pukal ditinggalkan penduduk.

“Sampah pukal seperti perabot sepatutnya dikeluarkan pada fasa pertama namun penduduk masih membuang barang-barang ini hingga menjejaskan fokus kita yang menyebabkan sasaran masa berubah.

“Ada juga pemilik rumah melakukan ubah suai pada longkang dan saluran air. Jadi masa untuk proses pembersihan itu lama,” kata Ramli Mohd Tahir.

Beliau turut meminta kerjasama penduduk untuk mengambil inisiatif menyewa tong roro daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya mahu membuang sampah pukal.

“Minggu ini kita sekali lagi adakan gotong-royong dan sediakan tong roro. Jadi penduduk yang masih ada sampah pukal diminta memanfaatkan peluang ini,” katanya.

Sejak 20 Disember lalu, KDEBWM, anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik giat membersihkan kawasan terjejas bah secara berperingkat.

Sepanjang pembersihan fasa pertama yang selesai pada 7 Januari, sebanyak 78,000 tan metrik sampah pukal dikutip dengan kerjasama PBT serta agensi lain.

Fasa kedua bermula 8 Januari memberi tumpuan kepada operasi pembasmian kuman dan pembersihan parit tersumbat mengikut keadah teknologi efektif mikrobiologi (EM).


Pengarang :