Selangorkini
Jurusuntik memberi dos penggalak kepada peserta Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selvax Booster dapat sambutan, 74,000 individu ambil suntikan

SHAH ALAM, 3 FEB: Seramai 74,000 individu menerima suntikan dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster sejak Disember tahun lalu.

Pengurus Besar Klinik Selcare Dr Jeevarajah Ratnarajah berkata program terus mendapat sambutan baik dengan 1,950 dos diperuntuk setiap hari di 13 klinik.

“Kita mengalu-alukan jika wakil rakyat ingin mengadakan program ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan menyediakan pusat pemberian vaksin,” katanya ketika dihubungi.

Program Selvax Booster dilaksana sejak 8 Disember tahun lalu memperuntuk sebanyak 157,000 dos buat individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Senarai klinik terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Pada 30 Jun tahun lalu, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapi serta mempercepatkan proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Selvax bergerak pula dijalankan tiga bulan selepas itu menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan vaksin.

Selangor turut menganjurkan program Selvax Remaja pada Oktober, yang menyediakan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.


Pengarang :