Sukarelawan terpaksa menggunakan motorsikal bagi menghantar bekalan makanan bagi membantu penduduk yang terjejas ekoran laluan ke Kampung Sungai Lui mengalami rekahan selepas dilanda banjir yang mengakibat kerosakan harta benda ketika tinjauan Media Selangor di Hulu Langat pada 21 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Wakil rakyat bingkas hulur bantuan, cekal hadapi rintangan di lokasi bah

Banjir besar tahun lalu bukan sahaja meninggalkan pelbagai kisah duka tetapi turut menzahirkan kesungguhan wakil rakyat membantu orang ramai.

Kipas bot nyaris patah ketika menyelamat. Ada yang hampir menjadi bidan sewaktu membantu wanita hamil.

Selangorkini membawakan pengalaman Ahli Dewan Negeri (ADN) dalam tiga bahagian;

Bahagian pertama: Wakil rakyat bersengkang mata selamat mangsa bah, terpaksa tidur tepi jalan

Bahagian kedua: Bot tersangkut, batal lawatan kerja, wakil rakyat segera bantu mangsa bah

Kali ini, tujuh lagi ADN berkongsi pengalaman mereka berdepan bah besar 18 Disember lalu kepada wartawan ZAREEF MUZAMMIL, SHEEDA FATHIL, AMIN RIDZUAN ISHAK dan MUSTAKIM RAMLI

EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman hanya tidur-tidur ayam sepanjang berkampung di Hulu Langat, lokasi banjir paling buruk di negeri ini.

Sepanjang dua minggu berbakti di sana sejurus air surut, waktu tidurnya tidak menentu, sekadar beberapa jam. Belum puas melelapkan mata, beliau perlu segera bangun bagi menyelaras pelbagai perkara termasuk bantuan.

“Dalam 24 jam selama dua minggu saya di sana, sehingga jam 3 pagi belum tidur lagi kerana masih memantau. Saya jaga semua pengurusan sampah, pembersihan lumpur hingga ke bantuan makanan.

“Sejujurnya, ini pengalaman yang cukup bermakna. Saya tidak pernah terbayang kejadian seperti ini berlaku depan mata. Kereta terbalik di sana sini, rumah habis musnah,” katanya kepada Selangorkini pada 6 Februari.

ADN Paya Jaras Mohd. Khairuddin Othman menyampaikan bantuan barangan elektrik daripada Pekawanis untuk ibu tunggal mangsa banjir di Kampung Paya Jaras Hilir pada Januari 2022. Foto Facebook Pejabat Wakil Rakyat DUN Paya Jaras

Mohd Khairuddin juga menyifatkan operasi menyelamat dan huluran bantuan berdepan kesukaran berikutan faktor bentuk muka bumi di Hulu Langat. Situasi itu menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat dan sukarelawan. Namun, mereka tidak pula berputus asa.

“Kawasan lain air naik dari bawah tetapi di Hulu Langat air turun dari atas menyebabkan kerosakannya lebih serius berbanding lokasi lain. Muka bumi di sini tidak mendatar seperti digambarkan.

“Kita ada hantar bomba, tentera, sukarelawan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terpaksa berjalan tiga jam untuk hantar 1,500 makanan ke kawasan kampung Orang Asli,” katanya.

Walau sibuk menguruskan suasana bah di Hulu Langat, Mohd Khairuddin tetap memastikan penduduk kawasannya di Paya Jaras yang turut terjejas banjir senantiasa dibantu.

“Lebih 1,500 mangsa banjir di kawasan saya, cuma terkawal kerana setiap ketua kampung segera bertindak. Jadi penyaluran bantuan seperti makanan kepada mangsa cepat dilakukan,” katanya.

Lambakan sumbangan

Wakil rakyat Seri Serdang yang juga EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud pula dihimpit rasa tidak tenteram sebaik sahaja menerima laporan Sungai Klang melimpah ke jalan raya pada jam 4 petang 18 Disember tahun lepas.

Mengenang nasib bakal menimpa penduduk jika rumah mereka dinaiki air, beliau segera mengarahkan ketua kampung dan ahli majlis untuk mengemas kini situasi kawasan masing-masing.

“Selepas terima laporan Sungai Klang melimpah, ketua kampung segera menguar-uar agar mereka yang berisiko seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) untuk berpindah ke tempat selamat.

“Lori tiga tan milik penduduk turut digunakan untuk mengalihkan mangsa yang masih boleh diselamatkan menggunakan kenderaan darat,” kata Dr Siti Mariah.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di DUN Seri Serdang pada 5 Januari 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Seri Serdang – Dr Siti Mariah Mahmud

Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Puchong Indah, Dewan PU 7 Puchong Utama dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Permai bagi menempatkan penduduk terjejas.

Dr Siti Mariah juga mewujudkan pusat sehenti bagi menyelaras bantuan berikutan lambakan barangan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan. Terletak di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir, pusat itu mengumpul bantuan dan diagih mengikut keperluan.

“Kita dapati sumbangan pihak berkaitan tertumpu kepada beberapa barangan. Misalnya di PPS Puchong Permai terlalu banyak air mineral dan biskut kering, manakala lambakan lampin pakai buang serta bantal di PPS SMK 23 Subang Jaya.

“Dengan adanya pusat sehenti dan pasukan logistik yang diketuai Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) serta Majlis Perwakilan Zon 14, agihan dibuat menyeluruh selain mengelak pembaziran,” katanya.

Sebaik banjir melanda pada 17 dan 18 Disember, barisan pemimpin Selangor termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tidak dapat melelapkan mata apabila air terus melimpah.

Wakil rakyat kawasan masing-masing, dibantu ADN yang tidak terjejas banjir, berganding bahu menyelamatkan penduduk, selain menyelaras bantuan agar cepat sampai kepada pihak memerlukan.

Mereka bertarung meringankan beban penduduk sejak hari pertama. Begitu juga ADN lain yang kawasannya tidak terjejas seperti Chua Wei Kiat (Rawang) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) yang turun padang membantu rakan sejawat di kawasan dinaiki air.

Malah, kipas bot wakil rakyat Pandan Indah Ir Izham Hashim hampir patah akibat berlanggar kenderaan yang ditenggelami air. EXCO Pelaburan yang juga ADN Bandar Baru Klang Dato’ Teng Chang Khim membatalkan misi pelaburan ke luar negara demi membantu penduduk.

Selain mereka, EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail, EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau dan EXCO Hal Ehwal Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni bingkas membantu mangsa banjir.

Begitu juga wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof yang nyaris menjadi bidan, manakala ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyewa beberapa lori bagi menyelamatkan penduduk.

Stadium jadi PPS

Tempoh banjir selama 12 hari bermula 20 Disember di Bukit Melawati, Kuala Selangor akibat fenomena air termenung antara cabaran buat wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di salah sebuah pusat pemindahan sementara. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Jika di kawasan lain air surut selepas tiga hari banjir, di Bukit Melawati, sekitar 5,000 penduduk terpaksa tinggal lebih lama di PPS atau rumah sanak-saudara berhampiran.

Jadual Juwairiya berubah sama sekali. Sepanjang tempoh itu, beliau keluar rumah seawal jam 7 pagi dan pulang sekitar jam 2 pagi keesokannya. Beliau menghabis masa dan tenaga bagi memastikan keselesaan mangsa.

Beliau yang juga setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar mengambil inisiatif menyelaraskan bantuan dan membuka PPS termasuk Stadium Tertutup Kuala Selangor yang awalnya tidak digazet sebagai PPS.

“Sepatutnya PPS di SMK Kuala Selangor tetapi tempat itu tidak dapat menampung mangsa yang semakin ramai. Hati saya pilu lihat pesakit kronik, warga tua dan bayi berada di dataran menunggu dalam keadaan sejuk serta gelap.

“Saya terus selaraskan mesyuarat dengan agensi lain dan putuskan untuk jadikan stadium sebagai PPS. Kami bergerak cepat termasuk bawa mangsa banjir supaya mereka dapat berteduh dengan selesa,” jelasnya.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah pula tidak teragak-agak meninggalkan majlis perkahwinan anak sulungnya pada 18 Disember demi menyelamatkan mangsa banjir.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah menghulurkan pek makanan kepada mangsa terjejas banjir. Foto Facebook ADUN Sentosa YB Gunaraj

Memikirkan nyawa rakyat lebih penting, beliau menghabiskan masa hampir sehari suntuk bersama Skuad DUN Sentosa untuk menyelamatkan mangsa terperangkap menggunakan enam kenderaan pacuan empat roda.

“Pengalaman paling tidak boleh saya lupa apabila perlu meredah banjir mencari mangsa yang terperangkap di Taman Seri Wangi yang kebanyakannya didiami warga emas,” katanya.

Namun, beliau gembira berikutan pengurusan kuil, masjid dan NGO tidak putus-putus mengedar bungkusan makanan kepada orang ramai di pusat pemindahan.

Mengenai pembersihan pascabanjir pula, Dr G Gunarajah bersama 50 ahli skuad DUN Sentosa turun padang hampir setiap hari sebaik air surut bagi membantu bersihkan rumah penduduk terutama warga emas.

Wakil rakyat Subang Jaya bersama pasukannya pula melalui detik cemas apabila berdepan lelaki berparang yang melepaskan kemarahan kepada mereka.

Michelle Ng Mei Sze diherdik ketika keluar kenderaan semasa mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika menuju ke Kampung Bukit Lanchong, 12 kilometer tenggara Taman Sri Muda, untuk misi bantuan pascabanjir.

Wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bersama pasukannya membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze

“Saya terkejut lalu kembali ke kereta. Difahamkan, individu itu penduduk tempatan dan berkelakuan demikian kerana beremosi akibat banjir,” katanya, mengimbau pengalaman beberapa hari selepas bencana itu.

Namun kejadian tersebut tidak melunturkan semangat Michelle untuk terus menyalur sumbangan. Pasukannya gigih menghulur pelitup muka, kit ujian kendiri, cecair pembasmi kuman dan kewangan, bahkan sebanyak 23,800 unit bahan makanan diagih demi meringankan beban mangsa banjir.

Tersentuh hati

ADN Morib Hasnul Baharuddin pula ada pengalaman tersendiri ketika menghadapi bah besar meskipun banjir melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib tidak seburuk kawasan lain.

Perasaan timbalan speaker Dewan Negeri itu tersentuh apabila mendapat tahu seorang ibu yang baharu lima hari melahirkan anak terpaksa berpantang di PPS. Malah, wanita tersebut terpaksa mengharung air paras paha sejauh 50 meter berikutan rumahnya di Kampung Kelanang dilanda banjir.

“Mulanya, saya tidak tahu pun ada wanita berpantang di PPS. Kebetulan saya melawat terjumpa dia. Sedih melihat dia dan bayi terpaksa berpantang di PPS.

ADN Morib Hasnul Baharuddin menyampaikan barang keperluan kepada mangsa banjir. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Dun Morib -YB Hasnul

“Namun, siapa sangka wanita ini kelihatan sangat kuat dan tenang meskipun diuji sebegini,” katanya.

Hasnul yang mulanya bimbang berikutan kawasan yang diwakili kerap dilanda fenomena air pasang besar sedikit lega berikutan banjir di Morib tidak seteruk kawasan lain. Hanya 100 keluarga berpindah ke lima PPS yang dibuka melibatkan lebih 300 orang.

Bagi ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri, bah sedemikian besar pertama kali dilaluinya sepanjang 48 tahun mendiami kawasan itu.

Ketika banjir melanda pada 18 Disember, beliau bersengkang mata menguruskan pelbagai perkara khususnya membantu penduduk setempat hingga tidak sempat tidur walau jarum menunjukkan 8 pagi keesokannya.

Sebanyak sembilan PPS dibuka antaranya Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Sekolah Rendah Agama Pulau Indah dan Masjid Al-Ubudiah Kampung Telok Gong berikutan peningkatan jumlah penduduk yang keluar dalam tempoh 72 jam sejak air mula naik.

“Saya terharu tengok semua penduduk bertungkus lumus membantu tidak kira ketika mereka berada di jalan raya atau kawasan kediaman. Semua memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Usaha pemulihan pascabanjir giat dilakukan pihak berkuasa negeri dengan pemberian tunai dan pembersihan kawasan terjejas banjir.

Azmizam Zaman Huri bersama wakil Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) menyantuni dan menziarahi penduduk yang terjejas banjir. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri

Setakat 9 Februari, seramai 61,282 isi rumah menerima RM1,000 menerusi inisiatif Bantuan Selangor Bangkit manakala 13 waris korban pula mendapat RM10,000, menjadikan keseluruhan bantuan RM61.4 juta.

Selain itu, setakat 7 Januari, proses pembersihan sisa banjir fasa pertama yang membabitkan pelbagai agensi negeri membuang 148,187 tan metrik sampah. Kerja pembersihan fasa seterusnya sedang giat dijalankan.


Pengarang :