Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Klang pada 23 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB jangka bantuan banjir selesai diagih hujung Mac

SHAH ALAM, 16 MAC: Proses bayaran Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir dijangka selesai sepenuhnya akhir bulan ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata baki agihan melibatkan 7,236 orang di Klang, Kuala Langat (530), Petaling (348), Sepang (223), Kuala Selangor (56) dan Gombak (dua).

Beliau memaklumkan sebanyak 2,942 permohonan ditolak atas beberapa faktor antaranya tidak memenuhi kriteria bantuan dan bertindih satu sama lain.

“Sementara 300 permohonan lagi belum tentu sahkan kedudukannya sama ada layak atau ditolak,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.


Pengarang :