Orang awam terkandas berhampiran Stesen LRT Masjid Jamek akibat jalan yang dinaiki air ketika tinjauan pada 10 September 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Beberapa lokasi di Selangor, KL dilanda banjir kilat petang ini

SHAH ALAM, 7 MAC: Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur, berdasarkan beberapa video yang tular di media sosial

Perkara itu berlaku selepas hujan lebat sejak pukul 3 petang dan antara kawasan terjejas di negeri itu ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang, lapor Utusan Malaysia.

Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis berkata, kejadian berkenaan menyebabkan lebih 50 kediaman terjejas namun tiada pemindahan dilakukan.

Beliau menambah, kejadian banjir yang berlaku di Jalan Masjid Kampung Gombak Batu Arang dekat sini telah menyebabkan tiga kediaman terjejas.

“Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu telah menyebabkan air naik dengan kedalaman lebih satu kaki.

“Bagaimanapun air tidak memasuki rumah dan air semakin surut. Tiada pemindahan mangsa dilakukan,” katanya.

Kawasan sekitar Kuala Lumpur pula ialah Jalan Kuchai Lama, Sungai Besi, Jalan Cheras, Jalan Sultan Ismail, Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Parlimen, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak dan Jalan Ampang selain Jalan Persekutuan apabila dilaporkan kenderaan terpaksa membuat pusingan-U kerana paras air yang tinggi.

Sementara itu The Star melaporkan jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandaraya mengesahkan bahawa gambar lebuh raya yang dinaiki air di Kuchai Lama dikongsi adalah benar.

“Operasi masih dijalankan,” kata jurucakap itu.


Pengarang :