Mangsa banjir Fatonah Abdul Ghoni, 46, menjaga anaknya Muhammad Qhaleef Shah Edison, 9, yang baru berkhatan di pusat pemindahan sementara Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28 Shah Alam hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba: Keadaan banjir di Selangor terkawal, air makin surut

SHAH ALAM, 8 MAC: Hujan lebat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Selangor petang tadi tidak menyebabkan kenaikan air sungai yang mendadak dan kesemua kawasan terjejas dengan banjir kilat semalam kini dalam keadaan terkawal.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata paras air di kawasan terjejas iaitu di sekitar Hulu Langat, Gombak dan Petaling, kini menunjukkan aliran air banjir semakin surut dan tiada perpindahan mangsa banjir baharu direkodkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Namun Norazam berkata berlaku hakisan ban di Bukit Changgang petang tadi susulan hujan akibat tekanan air Sungai Langat yang deras dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran dalam proses melakukan kerja pembaikan di ban tersebut dan keadaan kini terkawal.

“Susulan itu juga, kita sudah tempatkan empat buah bot di kawasan berkenaan dan anggota bersiap siaga sekiranya berlaku kecemasan dan pihak kita masih melakukan pemantauan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Terdahulu, tinjauan Bernama di PPS Dewan Kenangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini mendapati kebanyakan mangsa banjir berlindung di PPS itu atas inisiatif sendiri, selain mendapat nasihat daripada pihak berkuat kuasa susulan keadaan air Sungai Klang semalam yang berada di paras bahaya.

Penghuni PPS dari Kampung Lanchong Jaya, Edison Ali, 41, dan Fatonah Abdul Ghoni, 46, berkata walaupun kawasan rumah mereka tidak dinaiki air, pasangan suami isteri itu tetap membawa tiga anak mereka termasuk Muhammad Qhaleef Shah, sembilan tahun, yang terpaksa menjalani pantang berkhatan hari pertamanya di PPS itu.

“Balik dari program berkhatan perdana semalam, anak sempat rehat beberapa jam sahaja. Kira-kira selepas Asar, pengurusan kampung memaklumkan paras air Sungai Klang yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah di paras bahaya. Dalam satu kaki sahaja lagi mahu melimpah.

“Risau peristiwa banjir 18 Dis tahun lepas berulang kembali, saya dan isteri ambil keputusan terus berpindah walaupun air belum melimpah dan memasuki kawasan rumah,” katanya.

Seorang lagi mangsa Norliza Hussein, 54, berkata beliau dan tiga anaknya terus berkemas untuk ke PPS selepas dimaklumkan pihak pengurusan kampung berhubung situasi air Sungai Klang di belakang rumahnya yang hampir melimpah.

“Air memang tidak masuk rumah lagi. Tapi separuh yang ada di PPS ini datang dari Kampung Lanchong Jaya yang pernah rasa keadaan buruk banjir yang lepas. Takut dengan keadaan itu kami ikut sahaja segala arahan, pastikan nyawa selamat dahulu,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis MBSA Zon 10 Saribanon Saibon, 54, yang mengawal selia kawasan di Seksyen 26, 27, 28 dan 33 di sini berkata sehingga kini pihaknya menasihatkan 144 mangsa daripada 44 keluarga untuk kekal mendiami PPS tersebut sehingga ramalan hujan dan ribut berakhir hujung minggu ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi ciapan di Twitter rasmi memaklumkan setakat 4 petang, sebanyak tujuh PPS masih beroperasi melibatkan 1,030 individu daripada 264 keluarga dari daerah Gombak, Hulu Langat dan Petaling.

– BERNAMA


Pengarang :