EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah
AGENDABERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: PDT Gombak, PlanMalaysia atasi kemelut penduduk di Selayang

SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri meminta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak bekerjasama dengan PlanMalaysia@Selangor bagi menangani isu kepadatan penduduk di Kampung Selayang Baru.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata PDT Gombak juga boleh mengemuka cadangan sama ada untuk mewujudkan majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) baharu.

“Kerajaan Negeri sedia maklum terhadap kepadatan penduduk di Kampung Baru Selayang yang melebihi 72,000 orang.

“Justeru, kita menunggu cadangan daripada pihak PDT Gombak sebelum Kerajaan Negeri membuat pertimbangan selanjutnya untuk kampung terbabit,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Taman Templer Sany Hamzan berhubung langkah Kerajaan Negeri untuk menjadikan Kampung Selayang Baru kepada dua pentadbiran MPKK pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Borhan pengecilan dan pemecahan sempadan kampung atau mewujudkan MPKK baharu bukan satu-satunya kaedah yang boleh diambil dalam mengatasi masalah kampung yang berkepadatan tinggi.

“Merujuk kepada Pelan Hala Tuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035, penetapan ‘Enklaf Desa’ yang merujuk kepada baki kawasan penempatan yang masih mempunyai ciri-ciri fizikal kedesaan merangkumi landskap semula jadi bercirikan desa, seni bina rumah gaya kampung dan taman kejiranan berkonsepkan kampung.

“Oleh itu, bagi sesebuah kampung memerlukan satu kajian lanjut iaitu antara cadangan lain yang boleh dipertimbangkan selain pengecilan dan pecahan sempadan adalah pengekalan sempadan dan pengecilan sempadan,” katanya.


Pengarang :