Exco Hal Ehwal Pengguna, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua, kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang cabaran troli pengguna selepas merasmikan Karnival Pengguna Negeri Selangor 2022 di Central i-City, Shah Alam pada 20 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Program kepenggunaan didik pengguna lebih bijak berbelanja

SHAH ALAM, 20 MAC: Pelbagai program dianjurkan sempena sambutan Bulan Pengguna peringkat negeri sepanjang bulan ini, kata EXCO Pengguna dan Industri Halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata program anjuran bersama Kerajaan Negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor itu bertujuan memupuk kesedaran pengguna mengenai hak kepenggunaan.

Beliau berkata, antaranya cabaran troli pengguna peringkat daerah yang berlangsung pada 12 dan 13 Mac lalu, yang memerlukan peserta membeli barangan buatan Malaysia dan pemenang akan bersaing di peringkat kebangsaan.

“Kita memilih pendekatan ini iaitu menganjurkan pelbagai program kerana lebih mudah untuk mendekati masyarakat sekali gus memperkasa ilmu kepenggunaan dan digital dalam kalangan rakyat di Selangor.

“Kita harap kesemua program ini dapat menarik minat dan komitmen pengguna terhadap ilmu kepenggunaan demi melahirkan pengguna bijak serta arif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Pengguna Selangor yang diadakan di pusat membeli belah Central i-City di sini hari ini.

Karnival Pengguna Selangor yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini mengetengahkan forum digital pengguna, gerai pameran dan aktiviti mewarna.

“Kita turut mengadakan bacaan khutbah Jumaat bertemakan kesedaran kepenggunaan di masjid dan surau seluruh negeri ini secara serentak pada 18 Mac lalu selain advokasi celik aplikasi ‘Price Catcher’,” katanya.

Selain itu, tambahnya, program yang terbuka kepada semua iaitu Selangor Consumer Fun Walk pada 1 April di Litar Sepang turut diadakan.

Ia adalah satu program berjalan santai sejauh 5.5 kilometer dan peserta akan diberi penerangan mengenai hak pengguna di setiap ‘checkpoint’.


Pengarang :