Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membantu menyerahkan barangan keperluan kepada pelanggan ketika program jualan perihatin rakyat DUN Sungai Tua di Taman Gombak Permai, Gombak pada 13 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Jualan prihatin rakyat dapat sambutan, peroleh hampir RM200,000 sejak Februari

GOMBAK, 14 MAC: Program Jualan Prihatin Rakyat di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya mencatat jumlah jualan keseluruhan RM180,000 sejak ia dilancar pada 28 Februari lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jualan barangan khususnya ayam, telur, ikan dan daging mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk di setiap kawasan.

“Contohnya ayam, ada kalanya ia terjual hingga 800 ekor di satu-satu lokasi menjadikan jumlah ayam yang terjual setakat ini sebanyak 6,000 ekor.

“Kita mengehadkan dua ekor ayam bagi setiap keluarga, jadi 3,000 keluarga sudah menerima manfaat menerusi program ini.

“Saya jangka jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa kerana program ini akan menjelajah lebih banyak DUN sekali gus menggalakkan pembelian daripada penduduk,” katanya selepas meninjau program jualan itu di DUN Sungai Tua, semalam.

Amirudin dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad turut mengunjungi program jualan prihatin di Taman Gombak Permai, Gombak dan ketibaan mereka disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, selain empat barangan yang sudah tersenarai, beberapa barang keperluan lain turut dijual seperti minyak, bawang dan beras.

“Jumlah barang dijual bergantung pada bekalan dan jika ada kita akan bawa kepada penduduk.

“Walaupun program ini sementara dan tidak sepanjang masa, kita percaya ia dapat kurangkan kesan kepada pembeli dan langkah diambil ini berkesan kerana ramai terima manfaat,” katanya.

Program diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bertujuan mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang dan inisiatif ini dianjurkan sehingga hari raya Aidilfitri ini.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :