Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) mendengar penerangan berkaitan projek perumahan dari Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group, Dato’ Seri Yap Ngan Choy (tengah) sempena majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di Batang Kali, Hulu Selangor pada 12 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri giat selesaikan projek perumahan terbengkalai

HULU SELANGOR, 12 MAC: Kerajaan Selangor giat menyelesaikan projek perumahan terbengkalai di negeri itu secara berperingkat.

Dato’ Menteri Besar berkata terdapat banyak projek tersebut melibatkan kes lama yang masih belum selesai dan dalam senarai EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

“Kita akan atasi satu persatu, namun ia bukan mudah sebab sebahagiannya melibatkan pihak penyelesai (liquidator). Apabila melibatkan pihak berkaitan, penyelesaian jadi lama dan panjang.

“Senarai projek terbengkalai ada pada YB Rodziah dan dari semasa ke semasa kita akan selesaikan secara berperingkat untuk memastikan Kerajaan Negeri dapat menyediakan projek yang sempurna kepada rakyat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di Batang Kali, Hulu Selangor pada 12 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ion Belian Garden yang dahulunya merupakan projek perumahan Lembah Genting diambil alih NCT Group of Companies (NCT Group) selepas terbengkalai selama 17 tahun.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata penyelesaian projek perumahan terbengkalai membuktikan permintaan hartanah di Selangor masih tinggi dan berkembang.

“Ada dua perkara penting di sini, saya ucapkan terima kasih kepada pemaju yang tampil menyelesaikan projek terbengkalai selama 17 tahun. Mereka menukar unit banglo kepada rumah teres yang berkemampuan dan menawarkan harga sesuai dengan saiznya.

“Kedua pemaju menangani isu terbengkalai melibatkan lebih 199 pembeli yang terbeban dengan hutang dan kos pembelian. Penyelesaian ini membuktikan permintaan perumahan di Selangor masih tinggi,” katanya.


Pengarang :