Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik perasmian sempena majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di Batang Kali, Hulu Selangor pada 12 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: ECRL bakal jadikan utara Selangor hab pengangkutan kereta api

HULU SELANGOR, 12 MAC: Kawasan utara Selangor khususnya Batang Kali bakal menjadi hab pengangkutan kereta api dan industri logistik dengan adanya laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembinaan ECRL menerusi jajaran utara menjadikan proses penghantaran membawa kontena ke Pelabuhan Klang semakin mudah.

“Sebelum ini, dari utara mereka perlu melalui Kuala Lumpur dan kemudian baru ke Pelabuhan Klang. Dengan adanya ECRL, penghantaran barangan ini melalui Serendah Bypass yang menjadi sebahagian jajaran utara.

“Dengan adanya jalan ini, saya percaya bukan hanya kereta api tetapi syarikat logistik dan perkhidmatan penghantaran akan berkembang, sekali gus menjadikan Batang Kali sebagai hab penting kepada industri kereta api,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini hari ini.

Menurut Amirudin, beliau turut menerima cadangan pembangunan pelancongan di sepanjang laluan menuju ke Genting Highland, Pahang.

“Bagaimanapun, rancangan itu perlu diteliti terutama melibatkan aspek alam sekitar sebelum sebarang projek pembangunan dijalankan di kawasan tersebut.

“Ini kerana kebanyakan tanah dimiliki syarikat dan individu yang sedang merangka untuk menjadikannya kawasan pelancongan,” katanya.

Pada 2 Disember tahun lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor bersetuju menerima cadangan kerajaan persekutuan berhubung laluan projek ECRL melalui jajaran utara.

Bagaimanapun, beliau berharap projek itu mengambil kira kesan terhadap alam sekitar seperti kawasan tadahan air berdekatan Empangan Batu dan impak sosial lain antaranya penempatan kampung tradisi serta Orang Asli.


Pengarang :