Sebuah pesawat penumpang Boeing 777 membuat pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AFP
AGENDA NASIONAL

MAHB sedia terima ketibaan penumpang antarabangsa mulai 1 April

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memastikan semua lapangan terbang antarabangsanya bersedia untuk menerima kemasukan penumpang antarabangsa ke negara ini sebaik sahaja sempadannya dibuka semula pada 1 April, 2022, seperti yang diumumkan kerajaan pada Selasa.

Pengendali lapangan terbang itu sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan (KKM), bagi menambah baik aliran proses di lapangan terbang terutama bagi ketibaan.

“Bagi tujuan itu, maklum balas daripada penumpang sejak beberapa bulan yang lepas turut diambil kira supaya pengalaman penumpang menjadi selancar yang mungkin sementara kesejahteraan mereka terus dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam kenyataan yang sama berkata “kecekapan protokol keselamatan di lapangan terbang adalah bidang tumpuan utama kerana ia memainkan peranan utama dalam memastikan pengalaman pemprosesan penumpang yang menyenangkan.”

Antara langkah yang diambil oleh MAHB untuk memastikan kesediaan lapangan terbang termasuk menempatkan lebih ramai kakitangan berpengalaman mengendalikan pelanggan di lapangan, serta memasang lebih banyak papan tanda dan tempat duduk di seluruh terminal untuk kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada penumpang.

Selain itu, lebih 22,000 ahli komuniti lapangan terbang telah diberi vaksin sepenuhnya. Pengendali lapangan terbang itu ingin mengingatkan semua penumpang dan tetamu lapangan terbang untuk terus mematuhi semua protokol keselamatan bagi kepentingan orang ramai.

“Kita perlu memastikan mereka mempunyai tanggapan yang baik terhadap Malaysia sebaik sahaja mereka memijak bumi kita dan tanggapan pertama ini akan bermula di lapangan terbang. Ketersediaan portal protokol Covid-19 akan sangat membantu dalam memudahkan proses ketibaan kerana penumpang kini boleh mendapatkan maklumat terkini daripada satu sumber,” kata Iskandar.

“Kami berharap untuk melihat pertumbuhan yang baik dalam pergerakan trafik penumpang dan pesawat antarabangsa kami kerana ini akan menyumbang dengan ketara kepada prestasi perniagaan kumpulan dan komuniti lapangan terbang. Antara lain, pelancongan masuk juga akan kembali cergas dan kesan limpahan di seluruh rantaian nilai akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara positif,” katanya.

MAHB adalah satu daripada kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi bilangan penumpang yang dikendalikan. Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Sejumlah 39 lapangan terbang di Malaysia itu terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik, dan 18 lapangan terbang berlepas dan mendarat jangka pendek (STOLports). Lapangan terbang utamanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, adalah antara hab penerbangan pilihan di rantau ini.

– BERNAMA


Pengarang :