Anggota Forensik Polis mengangkat seorang mayat selepas melakukan siasatan kepada mangsa dalam kes samun di hadapan sebuah bank di Puchong Prima pada 11 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDA JENAYAH

Pengawal keselamatan maut insiden rompakan di Puchong Prima

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditembak manakala seorang lagi cedera dalam satu rompakan nekad berhampiran sebuah bank di Puchong Prima, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata kejadian berkenaan berlaku pada 5.50 petang.

Menurutnya, semasa kejadian terdapat empat pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk mengambil wang tunai daripada sebuah bank untuk diangkut ke dalam van syarikat keselamatan dengan seorang pemandu menunggu dalam kenderaan.

Katanya ketika mereka mengambil wang di bank berkenaan, dua pengawal keselamatan berada di dalam bank manakala seorang pengawal keselamatan berada di antara bank dan van itu dan seorang lagi pengawal keselamatan bersama pemandu berada dalam kenderaan.

Menurutnya ketika kejadian, pengawal keselamatan yang berada di antara bank dan van sedang menyerahkan karung berisi wang kepada rakannya yang menunggu di van dan pada masa itu seorang suspek lelaki meluru ke arah mereka untuk merampas karung wang itu lalu berlaku pergelutan antara mereka bertiga.

Kemudian kata Abd Khalid suspek berusia 38 tahun disyaki memukul salah seorang daripada pengawal keselamatan sehingga cedera dan menembak seorang lagi pengawal keselamatan sebelum melarikan karung berisi wang itu.

Katanya pemandu van keselamatan yang panik segera membawa pengawal keselamatan yang cedera di bahagian tulang belakang masuk ke dalam van dan memandu van itu sehingga ke Puchong Perdana, tidak jauh dari lokasi kejadian dan mangsa yang cedera itu disahkan meninggal dunia di dalam van.

Sementara itu, Abd Khalid berkata suspek yang dipercayai melakukan jenayah itu secara bersendirian berjaya ditahan di tempat awam sekitar Seksyen 24, Shah Alam pada 7 malam hari sama bersama karung berisi wang tunai namun jumlah wang yang dibawa lari suspek masih dalam siasatan.

Menurutnya pistol yang disyaki digunakan suspek menembak pengawal keselamatan berkenaan ditemukan di lokasi lain dan polis masih menyiasat kenderaan yang digunakan suspek semasa melarikan diri.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira 5 lebih petang.

“Saya melihat ada sebuah van keselamatan berhenti di hadapan bank…datang seorang lelaki menghampiri pengawal keselamatan berkenaan lalu saya terdengar bunyi das tembakan dilepaskan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :