Aksi penyanyi dan komposer Yonniboii
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Yonnyboii kedua selepas Siti Nurhaliza di Spotify

Oleh Intan Syuhada Akhir

Walau masih baharu dalam dunia seni dengan lagu pertamanya Sakit, terbit hujung 2019, Yonnyboii tiba-tiba muncul penyanyi kedua popular selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin di Spotify tahun lalu.

Pemuda 24 tahun itu popular dengan lagu Angel dalam aplikasi tersebut, antara ruang digital muzik yang terbesar di dunia dengan lebih 400 juta pendengar aktif sebulan.

Sementara Siti Nurhaliza popular dengan lagu Bukan Cinta Biasa. Beberapa penyanyi lain yang lebih terkenal seperti Hujan (lagu Jika Sempat) berada di bawah populariti pemuda Setapak itu.

Selain lagu itu, Salahku yang terbit pada 2020 terus melonjak Yonnyboii ke pentas seni negara. Lagu itu yang dikarang dalam masa 30 minit berjaya ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 baru-baru ini.

Sayangnya penampilan pertama dalam pertandingan akhir Muzik-Muzik gagal meraih kemenangan.

“Saya masih ingat lagu ini saya hasilkan dalam tempoh yang sangat sekejap lebih kurang setengah jam. Saya duduk di kerusi dan ilham itu datang mengalir.

“Saya tidak sangka lagu ini digemari kerana konsepnya macam lagu bercakap. Tapi nampaknya pendengar betul-betul hayati lirik yang ditulis,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Penyanyi dan komposer Yonniboii

Yonnyboii, nama pentas Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, menyifatkan kelahiran lagu tersebut sebagai magis.

“Tujuan saya menghasilkan muzik cuma satu iaitu ingin berkongsi apa yang saya rasa. Melihat kepada sokongan orang ramai kepada lagu ini, saya rasa hasrat saya sudah tercapai,”katanya.

“Pada waktu itu, saya akui memang banyak perkara yang terjadi ketika bergelar anak seni di scene muzik bawah tanah. Semuanya saya pendam sehingga akhirnya saya menuliskan lagu ini,” cerita beliau lagi.

Berdepan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), Yonnyboii mengakui beliau pernah dijauhi rakan-rakan. Beliau juga menjadi sasaran pembuli sejak zaman persekolahannya sehingga menyebabkannya murung.

Namun, sisi gelap yang dilalui penyanyi dan komposer kelahiran Kuala Lumpur itu sebaliknya menguatkan jiwa Yonnyboii sebagai artis muda.

Namun, tingkah lakunya yang dianggap sedikit aneh kerap menimbulkan salah faham. Bahkan, ada menganggap penyanyi itu mengambil bahan terlarang. Namun, Yonnyboii tegas menyangkal tuduhan itu.

“Bagi saya, muzik adalah cara saya untuk berdamai dengan apa yang ada dalam kepala saya. Muzik adalah hidup saya.

“Setiap pengkarya kena ikhlas dalam menghasilkan lirik dan lagu. Saya tidak menipu dalam karya saya. Bila saya sedih, lagu yang terhasil juga sedih. Begitu juga sebaliknya.

“Siapa yang dengar lagu-lagu saya, mereka sedang membaca diari saya,” tambahnya, yang mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Meski tidak menang ketika tampil di pentas akhir AJL, anak muda itu berjaya memberi persembahan terbaik sehingga mengundang perhatian peminat seni tanah air.

Yonnyboii mula bergiat dalam bidang muzik pada usia remaja enam tahun lalu. Tiga tahun kemudian, Sakit nyanyiannya bersama penyanyi rap Zynakal hingga kini meraih 48 juta tontonan di YouTube.

Karya berkenaan menduduki carta RIM sebagai lagu yang paling banyak distrim selama 14 minggu berturut-turut dan kekal hingga minggu ke-35. Ia juga berjaya mara ke separuh akhir AJL35.

Bagi mengukuhkan kerjaya muziknya, Yonnyboii bekerjasama dengan Caprice menerusi lagu Takut pada 2019, Azlan & The Typewriter (Kelabu) serta Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique (X Missing You), semuanya pada 2020.

Beliau juga menulis lirik lagu hip hop Jangan Keluar dendangan bersama 16 artis naungan Universal Music Malaysia, antaranya Hafiz Hamidun, Alvin Chong, Shila Amzah, Sophia Liana, Rabbit Mac dan Malik Abdullah.


Pengarang :