Kelihatan sebuah rumah di pinggir sungai langat musnah di Hulu Langat sekitar jam 6.30 petang ketika tinjauan keadaan selepas banjir pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Perubahan iklim: JPS nilai risiko banjir 36 sungai utama, naik taraf siren amaran

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan penilaian risiko bencana banjir berdasarkan unjuran perubahan iklim melalui inisiatif peta hazard banjir dan peta risiko banjir.

Menteri berkenaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), penilaian risiko bencana banjir merangkumi 36 lembangan sungai utama di seluruh negara telah siap dibangunkan.

“Bagi kawasan Lembah Klang, peta hazard banjir bagi enam lembangan sungai telah siap dibangunkan manakala peta risiko banjir melibatkan lembangan Sungai Bernam juga telah siap dibangunkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang bertanyakan berkenaan kajian kerajaan mengenai kemungkinan perubahan iklim drastik dengan bencana alam yang dijangka lebih kerap serta tahap kesiapsiagaan sistem amaran bencana negara.

Tuan Ibrahim berkata JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sentiasa menyegerakan, menyelenggara dan menambah baik tahap kesiapsiagaan sistem amaran awal di bawah seliaan jabatan berkenaan.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), MetMalaysia sedang memasang lapan sistem radar baharu untuk tambahan di Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sebagai tambahan kepada 11 sistem radar sedia ada dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

“Selain itu, JPS turut melaksanakan program ramalan dan amaran banjir yang bertujuan memberi amaran awal kepada agensi berkaitan dengan pengurusan bencana dan orang awam.

“Siren akan dibunyikan apabila aras air melepasi nilai ambang tertentu untuk memberi amaran awal kepada penduduk setempat, ramalan banjir seawal tujuh hari dan amaran seawal dua hari disediakan bagi lokasi-lokasi dijangka banjir,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, sistem itu beroperasi di lembangan Sungai Pahang, Kelantan dan Terengganu dengan ketepatan 65 peratus manakala sistem amaran di bawah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi negeri-negeri lain di seluruh negara sedang dinaik taraf.

— BERNAMA


Pengarang :