Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan pada program Jualan Prihatin Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Gombak Permai, Gombak pada 13 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PKPS gerak semua kakitangan pastikan program jualan murah lancar

GOMBAK, 13 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menggerakkan kakitangan daripada semua jabatan bagi melancarkan perjalanan Program Jualan Prihatin Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata tidak hanya melibatkan bahagian pemasaran tetapi juga jabatan lain demi memastikan program itu dapat dilaksanakan sempurna.

“Untuk hari ini, seramai 14 kakitangan terlibat di lokasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bagi membantu sepanjang program.

“PKPS mewakili Kerajaan Negeri dan ini adalah tugas kita untuk membantu rakyat mendapat keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya ditemui pada program tersebut di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan seluruh negeri bertujuan mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang dan inisiatif ini dianjurkan sehingga Aidilfitri tahun ini.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut disasar untuk dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusinya, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 per kg), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :