Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang Haryati Abu Nasir berkempen pada majlis perasmian Bilik Gerakan Utama Ayer Hitam pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRN Johor: Kempen KEADILAN tumpu isu pengangguran, perumahan

SHAH ALAM, 4 MAC: Masalah pengangguran dan perumahan antara isu tumpuan kempen calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kedua-dua isu berkenaan antara perkara yang lama membelenggu Johor tanpa sebarang penyelesaian konkrit.

“Saya tegaskan masalah di Johor, anak muda dengan masalah pengangguran. Lulus Sijil Pelajaran Malaysia, lulus diploma, lulus universiti tetapi menganggur. Kerja di Singapura sekarang ini pun terbatas.

“Perumahan di selatan Johor juga parah, pembangunan itu terpilih di bahagian Barat, di Timur dan Tengah langsung terbiar dan tiada kesinambungan. Semua ini patut difikirkan,” kata ketua pembangkang itu.

Beliau membantu kempen calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang Haryati Abu Nasir yang berdepan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang dalam saingan empat penjuru.

Anwar juga mengulangi kepentingan dua isu tersebut dalam siri jelajah di Layang-Layang, Simpang Renggam bagi membantu kempen calon Dr Maszlee Malik.

Bekas menteri pendidikan itu berdepan calon parti BN, PN dan Pejuang dalam saingan empat penjuru.

Seramai 239 calon bertanding dalam PRN Johor. Lebih 2.59 juta pengundi berdaftar termasuk Undi 18 layak membuang undi pada 12 Mac.


Pengarang :