Yayasan Selangor menyerahkan replika cek bantuan banjir kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor pada 1 Mac 2022. Foto Yayasan Selangor
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

259 pelajar, guru, sekolah mangsa bah terima bantuan Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 4 MAC : Yayasan Selangor memperuntukkan RM72,500 sebagai bantuan kepada pelajar, guru dan sekolah terjejas banjir pada Disember lalu.

Menurut agensi itu, bantuan itu disalurkan kepada 244 pelajar dan tujuh guru serta lapan sekolah di bawah tajaannya di negeri ini.

“Walaupun tragedi bah sudah lama berlalu, pihak kami amat bersimpati dan terpanggil untuk meringankan beban pelajar, keluarga, guru dan sekolah yang ditimpa bencana itu.

“Justeru, hasil sokongan dan sumbangan rakan yayasan serta pihak korporat yang prihatin, Yayasan Selangor berjaya mengumpulkan dana sejumlah RM72,500 untuk disalurkan kepada mangsa terlibat,” kata kenyataan tersebut.

Katanya, pihaknya turut berterima kasih kepada Yayasan Kelantan Darulnaim dan TWA (Malaysia) Sdn Bhd yang memberi sumbangan bagi membantu mangsa bah di Selangor.

Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim Azi Rahimee Mohammed berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan beban penerima khususnya membuat persiapan persekolahan yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Sebanyak RM56,000 wang sumbangan diserahkan kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, manakala RM16,500 lagi kepada Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor pada 1 Mac lalu, untuk diagih kepada mangsa terbabit.


Pengarang :