Orang ramai beratur untuk membeli barang keperluan harian pada Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program jualan murah di 10 lokasi hujung minggu ini

SHAH ALAM, 22 MAC: Program Jualan Prihatin Rakyat diteruskan di 10 lokasi pada Sabtu dan Ahad ini.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan program melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Meru, dan Selat Klang, Klang; pusat penjaja Taman Putra Perdana, Sepang dan Dataran Gombak, Selayang pada Sabtu.

Manakala Ahad di DUN Bandar Baru Klang, Pelabuhan Klang dan Pandamaran, Klang; Taman Seri Setia Tanjong Karang serta pasar peladang di Kapar.

Produk ditawarkan ialah ayam standard berharga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 per kilogram (kg)), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Program sejak hujung Februari itu dilaksanakan setiap minggu di 64 kawasan seluruh negeri bertujuan mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Inisiatif sehingga sambutan Aidilfitri itu melibatkan penjualan 10,000 ayam, 3,100 kg daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B.

Setakat 14 Mac Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program mencatat jumlah jualan keseluruhan RM180,000.


Pengarang :