Sesi pembelajaran dijalankan pusat Anak Istimewa Selangor (AnIS) membantu kanak-kanak terlibat meningkatkan kemahiran diri dan boleh berdikari. Foto Facebook ANIS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pusat anak istimewa bantu kanak-kanak sindrom Down berdikari, baiki diri

SHAH ALAM, 1 MAC: Pusat Anak Istimewa Selangor (AnIS) membantu kanak-kanak sindrom Down berdikari dan membaiki diri daripada aspek tingkah laku supaya golongan itu diterima masuk ke sekolah.

Guru Pendidikan Khas Pusat AnIS Muhammad Ikhram Ehsan berkata sesi pembelajaran untuk golongan itu seperti kanak-kanak normal, namun perlu menarik dan merangkumi aspek aktiviti harian serta fizikal mengikut modul disediakan Genius Kurnia.

“Kanak-kanak sindrom Down sangat peramah dan ibu bapa juga tiada masalah sekiranya perlu meninggalkan mereka. Kehadiran ke pusat ini membantu membaiki tingkah laku sekali gus membolehkan mereka masuk ke sekolah untuk sesi akademik.

“Buat masa ini, kesedaran menerima golongan ini makin meningkat cuma perlu dibuka peluang pekerjaan untuk mereka yang dewasa. Sekiranya peluang itu diberikan akan membantu mengurangkan kadar keciciran,” katanya kepada Selangorkini.

Ahli Terapi Pusat AnIS Nurul Husna berkata mengajar kanak-kanak sindrom Down mudah dan tiada perbezaan ketara dengan individu normal cuma mereka menghadapi masalah fizikal, pembelajaran dan komunikasi.

“Biarpun kurang bercakap dan sebutan tidak jelas tetapi mereka berusaha untuk berkomunikasi dengan guru. Malah, golongan ini juga tiada masalah interaksi dengan orang luar selain suka tersenyum.

“Namun, kanak-kanak sindrom Down ini perlu diajar menjalani kehidupan harian normal seperti makan, pergi ke tandas serta aktiviti fizikal untuk kekuatan otot,” katanya.

Penolong Pengurus Pusat AnIS Danial Al Rashid berkata kebanyakan ibu bapa mengharap anak-anak mereka boleh pergi ke sekolah dan menunjukkan peningkatan daripada segi akademik.

“Kita fokus dua perkara supaya kanak-kanak boleh berdikari dan menguasai sesuatu kepakaran.

“Mereka ini boleh bawa diri di sekolah sama ada masuk ke arus perdana atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bergantung pada apa dilalui sepanjang tujuh tahun pertama di sini,” katanya.


Pengarang :