Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) dan Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil (dua, kanan) bergambar bersama ahli parti dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang KEADILAN Lembah Pantai di VE Hotel & Residence, Kuala Lumpur pada 27 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Saifuddin belum putuskan tandingi kerusi timbalan presiden KEADILAN

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti pada bulan depan.

Beliau menjelaskan sebarang keputusan yang bakal dibuatnya mengambil kira pandangan semua pihak selain mahu memastikan proses pemilihan tersebut tidak menjejaskan hubungan persahabatan.

“Sudah menjadi tabiat saya apabila satu-satu keputusan besar seperti ini sudah tentu saya akan melibatkan setiap lapisan kepimpinan. Saya masih dalam proses itu, tiba masa dan ketika yang sesuai, saya akan buat keputusan.

“Tekad saya hanya untuk menyaksikan proses pemilihan atau pertandingan yang tidak mencarikkan persahabatan, itu falsafah politik saya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan KEADILAN Cabang Lembah Pantai di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil.

Sebelum ini, Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli mengumumkan untuk bertanding jawatan itu.  Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga disebut-sebut bertanding jawatan sama.

Jawatan tersebut sebelum ini disandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sejak 2018, namun beliau mengambil keputusan untuk keluar parti.


Pengarang :