Pasukan Selangor MAC kekal juara Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2022 selepas menewaskan Shah Alam City. Foto Facebook Selangor MAC
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Selangor MAC pertahan kejuaraan futsal kebangsaan, Pahang Rangers tewas lagi

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Pasukan futsal Selangor MAC berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2022 selepas menewaskan Shah Alam City 1-0 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam Panasonic, malam tadi.

Jaringan tunggal Matheus Vasconcelos Silva pada minit ke-16 sudah cukup bagi skuad kendalian Addy Shairullyzam untuk mengesahkan penguasaaan mereka sekali gus meranapkan impian Pahang Rangers yang bergelar naib juara dua kali berturut-turut dalam saingan liga itu.

Keputusan aksi sirkit kelapan itu meletakkan Selangor MAC terus unggul di kedudukan pertama dalam carta 15 pasukan dengan mengumpul 36 mata selain hanya mempunyai baki satu perlawanan berdepan Pahang Rangers pada 13 Mac depan.

Pahang Rangers yang dibimbing Gerard Casas yang sebelum ini menghuni tangga kedua dengan 32 mata, cuba menghidupkan peluang merebut kedudukan juara apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 7-1 Sabtu lalu, selain mengharapkan Selangor MAC tercicir mata dalam baki perlawanan mereka.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila Selangor MAC turut menang 3-2 ke atas Selangor TOT juga pada hari sama.

Selangor MAC sebelum ini menjuarai MPFL pada edisi 2019 sekali gus mengecewakan Pahang Rangers yang berpuas hati dengan gelaran naib juara.

– BERNAMA


Pengarang :