Ahli biologi dari Universiti Washington Samuel Wasser dan pasukannya menyusun gading gajah hasil rampasan di Singapura pada 2015 dan menggunakan gergaji untuk memotong sampel gading bagi pengekstrakan DNA dan analisis genetik seterusnya. Foto REUTERS
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sering dibunuh pemburu haram, gajah tidak mahu bergading lagi

OLEH ZAMIR MOHYEDIN

Untuk pengetahuan anda, gading gajah sebenarnya semakin lama semakin mengecil. Gajah di zaman ini gadingnya 21 peratus lebih kecil daripada gajah pada tahun 90-an dulu. Gading gajah sentiasa menjadi buruan manusia kerana nilainya sangat tinggi. Permintaan dan nilainya yang tinggi ekoran daripada golongan kaya menjadikan gading gajah sebagai satu bentuk perhiasan. Malah, pemilikan gading gajah dapat meningkatkan status sosial seseorang. Terdapat juga kes gajah diburu untuk menampung kos peperangan.

Dari tahun 1977 hingga 1992, Perang Saudara meletus di Mozambique. Pada ketika itu, banyak gajah diburu dan terbunuh di Taman Negara Gorongosa kerana mahu diambil gadingnya dan dijual. Wang yang diperolehi daripada penjualan gading gajah ini digunakan untuk menampung peperangan.

Pemburuan gajah secara besar-besaran telah menyebabkan populasi gajah menurun secara mendadak. Bilangan gajah Afrika setinggi 10 juta ekor pada 1913, menurun kepada 1.3 juta ekor pada 1980. Kemudian, pada 2015, bilangannya hanya tinggal sekitar 415 ribu ekor. Gajah Asia pula mempunyai sekitar 100 ribu ekor pada awal kurun ke-20 dan hanya tinggal sekitar 45 ribu pada hari ini.

Pemburuan dan ancaman daripada manusia merupakan salah satu daripada tekanan persekitaran bagi gajah. Apabila gading menjadi punca utama kegagalan gajah untuk membiak dan melangsungkan hidup, gajah yang tidak bergading lebih selamat dan mempunyai kelebihan untuk melangsungkan hidup. Gajah bergading pula sering diancam oleh manusia. Belum sempat gajah-gajah bergading membiak, mereka telah dibunuh. Akhirnya yang tinggal dalam populasi gajah banyak yang tidak bergading.

Gajah yang tidak bergading adalah sesuatu yang nadir dalam populasi gajah suatu ketika dahulu. Populasinya sangat sedikit. Kini populasi gajah tidak bergading menjadi tipikal. Sebelum Perang Saudara Mozambique, sebanyak 18.5 peratus gajah tidak bergading. Selepas peperangan, kadar populasinya meningkat kepada 51 peratus.

Evolusi

Pemilihan alamiah (natural selection) merupakan salah satu daripada daya pemacu evolusi haiwan. Kemandirian suatu spesis bergantung kepada keadaan persekitaran yang didiami seperti keberadaan sumber makanan, iklim, ancaman, habitat, penyakit dan persaingan. Suatu spesis dapat melangsungkan hidup apabila dapat beradaptasi dengan keadaan-keadaan ini.

Keadaan-keadaan ini merupakan sejenis penapis terhadap suatu populasi. Penapis ini yang membolehkan suatu populasi haiwan berevolusi. Kes gajah menyaksikan sebahagian populasinya tidak dapat beradaptasi dengan ancaman persekitaran iaitu daripada manusia kerana mutasi gading.

Sebahagian populasi pula dapat beradaptasi kerana dilahirkan dalam keadaan tidak bergading. Tidak bergading memberikan kelebihan yang besar bagi gajah untuk bermandiri. Jika pemburuan ke atas gajah untuk mendapatkan gadingnya berterusan, lama kelamaan populasi gajah hanya akan didiami oleh gajah tidak bergading sahaja kerana gajah bergading menjadi buruan.

Di sinilah kita menyaksikan evolusi gajah melalui mekanisma pemilihan alamiah. Kita menyaksikan populasi gajah berevolusi daripada gajah bergading menjadi gajah tidak bergading. Persekitarannya menapis dan membuang gajah bergading daripada pembiakan spesisnya. Kejadian ini sebenarnya dapat menjadi bukti secara langsung berlakunya evolusi.

Gajah bernasib baik kerana terdapat sebahagian kecil populasinya dilahirkan dalam keadaan tidak bergading disebabkan oleh mutasi pada jujukan gennya. Mutasi ini memberikan manfaat kepada sebahagian populasi gajah supaya tidak diburu kerana manusia tidak berminat dengan gajah yang tidak mempunyai gading. Jika sehingga 100 tahun misalnya tiada mutasi ini muncul dalam populasi gajah, mungkin gajah akan pupus suatu hari nanti.

*Zamir Mohyedin ialah penyelidik kedoktoran di Universiti Teknologi Mara dan ahli fizik yang menulis lapan buku


Pengarang :