Sebahagian para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tamparuli yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tertangguh berikutan penularan Covid-19 seluruh negara ketika tinjauan pada 2 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

SPM 2021 dalam norma baharu di seluruh negara lancar

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Tahun 2022 menjadi tahun bersejarah buat 407,097 calon ujian bertulis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 apabila menduduki peperiksaan itu hari ini, berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan, ekoran negara dilanda pandemik Covid-19.

Biarpun di tengah-tengah peningkatan jumlah kes Covid-19, serta bencana banjir di negeri-negeri pantai timur, pelaksanaan peperiksaan SPM dalam norma baharu dilihat teratur dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan seramai 50,514 petugas peperiksaan ditugaskan di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Namun bagi 708 calon di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas yang terjejas akibat banjir di Kelantan, mereka terpaksa bersabar, kerana mereka hanya akan mengambil peperiksaan itu pada sidang kedua April depan, susulan banjir di pusat peperiksaan berkenaan.

Turut dibenarkan menduduki SPM 2021 pada sidang kedua nanti adalah calon-calon yang disahkan positif Covid-19.

Calon SPM hari ini merupakan kumpulan pelajar yang paling terkesan sejak pandemik melanda dan lebih banyak mengikuti sesi pembelajaran melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbanding secara fizikal di sekolah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Bernama di sekolah-sekolah di seluruh negara mendapati seawal 6.30 pagi, kumpulan pertama pelajar yang menduduki subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dijadual bermula 8 pagi ini mulai tiba di perkarangan sekolah dengan menjalani pemeriksaan suhu badan dan memakai pelitup muka.

Di Kuala Lumpur, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, Mohd Najib Ab Rahman berkata pelaksanaan SPM kali ini lebih rapi hasil pengalaman menguruskan SPM 2020 tahun lepas dalam norma baharu.

Beliau ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentul Utama, di sini, berkata peperiksaan SPM di seluruh Kuala Lumpur kali ini melibatkan 20,311 calon dengan 161 pusat peperiksaan.

Di Putrajaya, seramai 1,797 calon merangkumi 1,631 calon sekolah dan 166 calon persendirian menduduki peperiksaan itu di 11 pusat peperiksaan dan tinjauan mendapati pelajar serta guru yang hadir mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya Farizah Ahmad berkata daripada jumlah itu 68 pelajar tidak dibenarkan mengambil peperiksaan hari ini apabila 46 daripadanya disahkan positif Covid-19 manakala 22 lagi merupakan kontak rapat.

MENYUSUL LAGI

-BERNAMA


Pengarang :