Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM), Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor pada 2 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Yayasan Food Bank sedia dana RM250,000 bantu mangsa banjir

KUALA SELANGOR, 2 MAC: Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) menyediakan dana sebanyak RM250,000 bagi menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Ketua Pegawai Operasinya berkata sumbangan pascabanjir itu adalah dalam bentuk bakul makanan, peralatan elektrik, perkakasan dapur dan barang keperluan harian.

Jelasnya, penyaluran bantuan diagihkan terutamanya kepada mangsa terjejas teruk di sekitar Taman Seri Muda dan Kampung Bukit Lanchong Shah Alam; Kampung Tengah, Puchong serta Hulu Langat.

“Hari ini kita peruntukkan sebanyak RM50,000 bagi membantu 100 mangsa yang tinggal di Kampung Bukit Hijau dan Kampung Parit Mahang.

“Bantuan ini akan diteruskan pada masa akan datang supaya dapat meringankan beban mangsa,” kata Johan Halid pada majlis penyerahan bantuan di Masjid Al Falah, Kampung Bukit Hijau hari ini.

Puteri Sultan Selangor yang juga pengerusi lembaga pemegang amanah Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut hadir.

Kejadian banjir pada Disember lalu mengakibatkan banyak kawasan lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta menerusi Bantuan Selangor Bangkit bagi membantu mangsa dan waris korban banjir, selain membaik pulih prasarana.


Pengarang :