EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap ketika majlis Perasmian Forum Bicara Halal di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 2 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Belia disaran guna kreativiti sebar maklumat berkaitan halal

GOMBAK, 2 APRIL: Golongan belia disaran menggunakan kepakaran dan kreativiti masing-masing menyampaikan maklumat berkaitan halal kepada masyarakat.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata usaha itu dapat menyelamatkan orang ramai daripada perkara haram dan meragukan.

“Saya amat menggalakkan kalian semua dapat menggunakan kepakaran masing-masing dalam menyampaikan mesej mengenai halal ini mengikut kreativiti.

“Mungkin melalui penciptaan aplikasi, penulisan di media sosial, alat semakan halal, laman sesawang dan sebagainya yang mampu memudahkan orang awam dalam memilih suatu produk atau perkhidmatan yang halal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Forum Bicara Halal 2022 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Pada masa sama Mohd Zawawi turut memuji pelaksanaan forum itu yang merupakan usaha amat baik bagi melahirkan anak muda cakna terhadap isu halal.

“Tumpuan kepada belia juga satu langkah bijak kerana dunia digital kini dikuasai oleh golongan ini yang semakin pantas dalam menyampaikan maklumat,” katanya.

Pada program itu kira-kira 150 pelajar dari UIAM, Institut Baitulmal dan Universiti Sains Islam Malaysia menyertai forum tersebut anjuran Kerajaan Negeri dan Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS).


Pengarang :