Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyampaikan Sarung Tangan Emas kepada Nur Ezza Ashikin Abdul Razak.
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Gemar aksi ‘terbang’, kisah gadis raih Sarung Tangan Emas

Rasa gemuruh disingkir jauh. Postur badannya sentiasa bersedia berdepan lawan yang mencari peluang menjaringkan gol.

Meski tinggi Nur Ezza Ashikin Abdul Razak hanya 165 sentimeter, ia bukan penghalang. Kepercayaan rakan sepasukan Negeri Sembilan Women’s FC (NSW FC) menguatkan semangatnya memastikan gawang tidak bolos.

Liga Super Wanita (WSL) anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merupakan pertandingan pertama beliau beraksi sebagai penjaga gol. Peluang yang tidak disia-siakan gadis berusia 19 tahun itu.

“Asalnya Henrietta Justine mengajak saya untuk menyertai NSW FC dan kebetulan pasukan sedang mencari penjaga gol. Saya setuju bermain dengan NSW FC malah kami sama-sama menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),” katanya menceritakan detik awal disunting NSW FC kepada Selangorkini pada 25 Mac.

Nyata keputusan Nur Ezza Ashikin beraksi bersama NSW FC tepat. Beliau dinobat selaku pemenang Sarung Tangan Emas selepas mempamer persembahan terbaik sepanjang pertandingan dengan hanya melepaskan satu gol.

Berkongsi pengalaman dalam bola sepak, anak ketiga daripada lima beradik ini mula bermain pada usia 11 tahun. Walau tidak mempunyai kelab, semangatnya cekal untuk mengasah bakatnya dalam sukan ini.

“Penjaga gol sebenarnya bukan posisi utama. Saya sekadar mencuba memandangkan ketika itu saya bermain sebagai pertahanan. Semasa di tingkatan tiga, saya belajar di Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

“Di sana saya berlatih sebagai penjaga gol. Ada kalanya saya bermain posisi lain semasa perlawanan persahabatan kerana tidak cukup pemain,” katanya yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan dan menyertai kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah-16 di Kathmandu, Nepal pada 2018.

Nur Ezza Ashikin Abdul Razak ketika beraksi dalam perlawanan Liga Super Wanita (WSL) anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS)

Bagi Nur Ezza Ashikin, menjadi penjaga gol lebih menyeronokkan dan kurang penat berbanding bermain sebagai pertahanan. Beliau tidak kekok meski kini berubah posisi permainan.

Katanya, sokongan keluarga menambah azam beliau untuk melangkah jauh dalam sukan bola sepak. Bapanya, Abdul Razak Adom memberi sokongan terhadap impiannya bermain bola sepak sejak di bangku sekolah.

“Walaupun saya bersekolah di Langkawi, Kedah, ayah sanggup berkorban untuk menyokong impian saya bermain bola sepak. Saya masih ingat ketika belajar di Sekolah Menengah Tengku Putra, kakak saya Nur Ezza Ashilla belikan tiket kapal terbang untuk saya sertai pemilihan pemain di Kuala Lumpur.

“Malah dia (kakak) bersama seorang sepupu juga yang meluangkan masa membawa saya menyertai sesi pemilihan,” katanya yang meminati penjaga gol Kuala Lumpur Kevin Ray Mendozadan.

Nur Ezza Ashikin yang kini menuntut pada peringkat diploma dalam bidang kecergasan pertahanan di UPNM turut menjadikan penjaga gol Manchester United David De Gea sebagai idolanya.

“Saya suka tengok gaya De Gea beraksi. Walau tidak selalu dapat menonton aksi beliau tapi saya suka tengok gaya permainannya yang selalu ‘terbang’ selamatkan bola,” katanya yang dilahirkan di Kajang, Selangor.

Mengimbau perjalanan pasukannya, NSW FC yang dinobat juara sulung WSL pada 26 Januari lalu, Nur Ezza Ashikin berkata pertandingan berkenaan memberi pengalaman berharga selain membuka peluang untuk beraksi lebih baik.

“Sejujurnya saya takut ketika kali pertama beraksi sebab sebelum ini saya tidak pernah bermain dalam pertandingan besar. Saya lebih selesa bermain bola secara santai dan tidak terlalu serius bagi mengurangkan rasa gemuruh sepanjang pertandingan.

“Alhamdulillah, selepas perlawanan pertama rasa takut itu semakin berkurang. Ketika lawan MBSJ FC, saya beranikan diri untuk pastikan gawang gol tidak dibolosi.

“Yang penting pasukan saya dapat mengutip satu mata berharga kerana kami berhadapan pasukan (MBSJ FC) yang bagus dan menang dengan jaringan besar sebelum itu,” katanya yang hanya dibolosi pertama kali pada peringkat separuh akhir menentang FC Swat.

Kecemerlangan beliau itu membolehkannya menerima anugerah Sarung Tangan Emas yang disampaikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Ketika ini, Nur Ezza Ashikin bersama pasukannya NSW FC melakukan persiapan bagi menghadapi Piala Tun Sharifah Rodziah dengan menjalani latihan lima hari seminggu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Walau jadual latihan padat, beliau tetap menumpukan pelajaran demi mencapai cita-cita menjadi seorang polis.


Pengarang :