Jemaah menunaikan solat Jumaat dengan saf rapat susulan peralihan negara ke fasa endemik ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jemaah bersyukur, teruja tunai solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal

SHAH ALAM, 1 APR: Kerinduan jemaah untuk menunaikan solat sunat Jumaat tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau terubat hari ini selepas dua tahun tidak menempuh situasi sedemikian.

Tinjauan Selangorkini di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini mendapati rata-rata jemaah teruja dan bersyukur dengan kelonggaran diberikan selaras peralihan negara ke fasa endemik.

Razalee Ahmad, 49. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Razalee Ahmad, 49, berkata beliau sudah lama menanti kelonggaran itu selain merindui suasana solat Jumaat dengan saf rapat seperti sebelum pandemik Covid-19.

“Apabila solat tanpa penjarakan fizikal, suasana jadi lebih meriah kerana ramai jemaah boleh hadir. Kalau dahulu satu-satu masjid membenarkan 200 hingga 500 jemaah sahaja.

“Jadi peluang ini memang sangat dinantikan, apatah lagi sebelum ini pernah beberapa kali saya terlepas solat Jumaat disebabkan kuota di masjid sudah penuh,” katanya ketika ditemui.

Amirul Faris Mohd Salam, 28. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirul Faris Mohd Salam, 28, pula mengakui teruja menunaikan solat Jumaat tanpa penjarakan fizikal meskipun berasa agak janggal berikutan terikat dengan tatacara operasi piawai (SOP) selama dua tahun.

“Saya menyangka kelonggaran ini boleh diberikan dari tahun lepas lagi tetapi dilanjutkan tahun ini kerana faham dengan keadaan semasa wabak. Dengan peluang diberikan, saya rasa seronok dan insya-Allah semuanya berjalan baik,” katanya.

Seorang lagi jemaah Mohd Zaim Zainudin, 35, berkata kelonggaran itu memudahkannya menunaikan solat Jumaat di masjid terbabit kerana berdekatan dengan tempat kerja.

Mohd Zaim Zainudin, 35. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurutnya, sebelum ini beberapa kali beliau terpaksa mencari rumah ibadat lain yang lebih jauh berikutan kuota penuh.

“Alhamdulillah, selepas ini mudah untuk saya solat dan tiada lagi sekatan. Malah, sepanjang tempoh dua tahun ini solat Jumaat rasa sangat lain kerana saf tidak rapat,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan dibuat selepas baginda mengadakan rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.


Pengarang :