Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar bercakap kepada media selepas merasmikan Taman Permainan Inklusif sempena hari Autisme Sedunia di Taman Reakrasi USJ 11, Subang Jaya pada 22 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kes denggi meningkat, MBSJ minta orang ramai jaga kebersihan kediaman

SUBANG JAYA, 22 APRIL: Masyarakat dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diminta terus menjaga kebersihan bagi mencegah penularan demam denggi.

Datuk Bandar Dato’ Johary Anuar berkata pihaknya akan terus berusaha untuk mengurangkan kes denggi dengan menghapuskan tempat pembiakannya.

“Bagaimanapun, masyarakat juga dinasihatkan terus menjaga kediaman masing-masing dengan meluangkan masa 10 minit membuat pemeriksaan di tempat takungan air.

“Buat masa ini, hanya ada tiga lokaliti titik panas (hotspot) denggi dikenal pasti iaitu SS19/1, USJ 2/5 dan Taman Pinggiran USJ 1 berbanding sebelum ini empat lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Taman Permainan Inklusif USJ 11/5 sempena Sambutan Hari Autisme Sedunia MBSJ 2022 hari ini.

Kelmarin, Johary memaklumkan jumlah penghidap demam denggi di Subang Jaya meningkat lebih 200 kes berbanding tahun lalu bagi tempoh antara Januari hingga 9 April.

Peningkatan itu membimbangkan walaupun kes di kawasan Subang Jaya adalah terendah di Petaling berbanding Shah Alam dan Petaling Jaya.


Pengarang :