Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin menyediakan dan mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk di pekarangan Surau Blok P Sawah Sempadan pada 6 April 2022. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 300 bubur lambuk diagih kepada penduduk sekitar DUN Permatang

SHAH ALAM, 7 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang mengagihkan lebih 300 pek bubur lambuk di 13 kampung tradisi sekitar kawasan terbabit.

Wakil rakyat Rozana Zainal Abidin berkata agihan itu dibuat setiap hari sepanjang Ramadan dengan memperuntukkan perbelanjaan sekitar RM10,000.

“Memandangkan negara sudah memasuki fasa peralihan endemik kita mengambil keputusan untuk membuat program seumpama ini demi memeriahkan lagi sambutan Ramadan pada tahun ini.

“Aktiviti ini juga dapat memberi peluang kepada penduduk kampung terlibat secara langsung di samping merapatkan ukhwah antara satu sama lain,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Rozana bubur lambuk yang dibuat setiap hari itu juga memiliki keunikan tersendiri apabila setiap kampung menggunakan resepi masing-masing yang berbeza.

“Kita turut memberikan beberapa pek kurma, kain pelikat dan kain batik kepada penduduk yang menyumbang tenaga dalam membuat bubur lambuk ini,” katanya.

Antara 13 kampung tradisi terlibat dalam agihan bubur lambuk adalah:

– Kampung Blok EQSW
– Kampung Blok COJ
– Kampung Blok DKPV
– Kampung Parit Serong
– Kampung Seri Tiram Jaya
– Kampung Permatang
– Kampung Ujong Permatang
– Kampung Bestari Jaya
– Kampung Sungai Yu
– Kampung Sungai Terap
– Kampung Sungai Gulang-Gulang
– Kampung Raja Musa
– Kampung Bukit Belimbing


Pengarang :