Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya pada 5 April 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Majlis Presiden: Ahli Parlimen HARAPAN sokong akta antilompat parti

SHAH ALAM, 5 APRIL: Semua ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menyokong Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan (Anti Lompat Parti) yang dijadual dibentangkan pada 11 April ini.

Majlis Presiden HARAPAN memberi jaminan itu selepas pemimpin utama parti bertemu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi tadi bagi mendapatkan penjelasan berhubung status pembentangan rang berkenaan.

“Perdana menteri beri komitmen bahawa tidak ada perubahan kepada notis mesyuarat persidangan khas Dewan Rakyat pada 11 April seperti yang diedarkan kepada ahli Parlimen,” katanya menerusi kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pada hari terakhir Persidangan Dewan Rakyat pada 24 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti akan diadakan dalam sidang khas Parlimen pada 11 April.

Wan Junaidi berkata perkara itu dipersetujui perdana menteri malah beliau juga bersetuju untuk melanjutkan persidangan khas terbabit sekiranya tempoh sehari membincangkan rang undang-undang berkenaan tidak mencukupi.


Pengarang :