Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Dato’ Johary Anuar (kiri) mempengerusikan mesyuarat penuh di Ibu Pejabat MBSJ pada 20 April 2022. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ giat usaha tangkap anjing terbiar susulan kematian akibat rabies

SUBANG JAYA, 20 APRIL: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pergiat usaha menangkap anjing terbiar dengan menggunakan khidmat pihak luar susulan terdapat kes penyakit rabies di kawasan itu.

Datuk Bandar Dato’ Johary Anuar berkata walaupun terdapat satu kes setakat ini, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia menyebabkan kematian.

“Satu kes dilaporkan di SK6/1 Taman Bukit Serdang di mana melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun meninggal dunia pada 10 Mac 2022.

“Penangkapan anjing terbiar di sekitar kawasan kes telah mula dilaksana oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan spesimen telah dihantar ke makmal untuk kajian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat penuh MBSJ di Ibu Pejabat MBSJ di sini hari ini sambil menambah hebahan mengenai penyakit tersebut juga mula dijalankan.

Sehingga Mac lalu, Johary berkata pihaknya menerima 552 aduan kacau ganggu haiwan yang mana 422 kes melibatkan anjing dengan sebahagian besarnya kategori terbiar.

“Kakitangan MBSJ yang terlibat dengan penangkapan anjing akan menerima suntikan vaksin rabies dalam masa terdekat.

“Mereka perlu melengkapkan tiga dos suntikan yang mengambil masa sekitar tiga minggu dan dalam tempoh itu kita akan gunakan ‘outsource’ untuk menangkap anjing-anjing terbiar ini,” katanya.


Pengarang :