Seorang pengusaha madu kelulut rugi hampir RM20,000 selepas 30 daripada 180 sarang kelulut dimusnahkan beruang yang memasuki kawasan kebunnya di Kuala Krai sejak Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pengusaha rugi RM20,000 sarang madu kelulut dimusnah beruang

KUALA KRAI, 19 APRIL: Seorang pengusaha madu kelulut di Kampung Geretak Kangkong, di sini, kerugian RM20,000 apabila 30 daripada 180 sarang kelulutnya dimusnahkan beruang sejak akhir tahun lepas.

Che Awang Mat Zin, 69, yang mengusahakan madu kelulut di tanah seluas 0.4 hektar berkata kejadian terbaharu berlaku semalam.

Menurutnya, selain log kelulut, haiwan liar itu turut merosakkan pagar yang dibina di kawasan madu kelulutnya itu.

“Setiap satu log berharga RM700, akibat serangan haiwan liar itu saya kerugian kira-kira RM20,000.

“Akibat kejadian itu hasil tuaian dan pendapatan saya terjejas, sebelum ini saya mampu meraih pendapatan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan hasil jualan madu kelulut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Awang berkata sebelum ini dia pernah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan segera.

“Perhilitan telah mengambil tindakan dengan memasang perangkap haiwan itu beberapa bulan lepas namun tidak berhasil kerana haiwan itu ‘cerdik’.

“Jika haiwan ini berterusan berkeliaran bukan sahaja sarang kelulut saya musnah, malah penduduk dan kebun penduduk di sini turut terancam, saya harap pihak berwajib akan terus mengambil tindakan bagi mengatasi masalah ini,” kata pesara kerajaan itu.

-BERNAMA

 


Pengarang :