Pasukan hoki Malaysia menjalani latihan dikendalikan ketua jurulatih, Roelant Oltmans. Foto FB KONFEDERASI HOKI MALAYSIA (MHC)
AGENDASUKANKINI

Skuad ‘Speedy Tigers’ terus berduka di Australia, dibelasah 5-0

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Skuad hoki lelaki kebangsaan terus berduka di bumi Australia apabila dibelasah 0-5 oleh pasukan tuan rumah pada aksi ketiga Siri Perlawanan Ujian Antarabangsa 2022 di Stadium Hoki Perth hari ini.

Malaysia, pasukan di ranking ke-11 dunia yang sebelum ini diaibkan dengan kekalahan 0-3 dan 0-7 menentang pasukan nombor satu dunia itu, masih tumpul tanpa mampu menjaringkan gol pada siri tersebut.

Skuad ‘Kookaburras’ membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi flik terus daripada Jeremy Hayward, sebelum Jake Harvie menggandakan jaringan menerusi gol padang selang dua minit kemudian.

Bersambung separuh masa kedua, Hayward sekali lagi menemui sasaran menerusi flik selepas Australia dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-37.

Usaha skuad ‘Speedy Tigers’ untuk memecahkan kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-41 berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan dan penjaga gol Australia.

Australia yang terus memburu jaringan, berjaya meraih pukulan sudut penalti pada minit ke-42 dengan Hayward melengkapkan hatrik hasil satu lagi flik manakala Jake Whetton melengkapkan kemenangan bergaya menerusi jaringan padang pada minit ke-55.

Perlawanan hari ini turut menyaksikan Muhajir Abdu Rauf meraih caps antarabangsa pertamanya bersama pasukan senior kebangsaan.

Walaupun masih tidak mampu menyaingi Australia, pengendali pasukan negara A.Arulselvaraj berkata peningkatan mendadak dari segi tenaga dan usaha dapat dilihat dalam kalangan anak-anak buahnya pada aksi hari ini.

“Kami memiliki dua pukulan sudut penalti dan nyaris diterjemahkan kepada gol selain berjaya untuk masuk ke dalam kawasan gol lebih banyak hari ini. Ia menunjukkan mereka bermain dengan lebih agresif walaupun kami memberikan 10 pukulan sudut penalti kepada pihak lawan dan mereka menjaringkan tiga gol daripadanya.

“Kami mempunyai kerja yang perlu dilakukan dari segi bertahan di dalam kawasan gol yang terlalu mudah kami menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada lawan. Esok merupakan hari rehat untuk kami sebelum turun perlawanan terakhir,” katanya menerusi kenyataan.

Sesi penalti shoot-out yang diadakan selepas tamat perlawanan itu turut menyaksikan Malaysia tewas 3-4 kepada Australia.

Malaysia akan melengkapkan siri perlawanan ujian terakhir bertemu Australia menerusi aksi terakhir Khamis ini.

-BERNAMA


Pengarang :