Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib (dua kanan) menyampaikan sumbangan I-Seed kepada pengusaha khemah sewa, K Asokan (kiri) pada 1 April 2022. Foto I-Seed
AGENSISELANGOR

Tiga usahawan terima bantuan peralatan I-Seed bernilai hampir RM18,000

SHAH ALAM, 12 APRIL: Tiga usahawan di Gombak memperoleh bantuan alatan bernilai hampir RM18,000 menerusi program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed).

Pegawai operasi I-Seed daerah Gombak berkata sumbangan pertama iaitu tujuh unit khemah bernilai RM6,785 diserahkan kepada pengusaha sewa khemah, K Asokan pada 1 April lalu.

“Terima kasih diucapkan kepada Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib kerana sudi hadir untuk menyempurnakan majlis penyerahan peralatan I-Seed,” kata Dinesh Selvarajoo di Facebook.

Sumbangan kedua pula disampaikan pada 4 April lalu membabitkan lima jenis peralatan fotografi bernilai RM6,454.95 kepada Benedict Lawarance Joseph yang menyediakan perkhidmatan mengambil gambar dan video.

Sementara sumbangan ketiga bernilai RM4,750 iaitu generator dan mesin kimpalan diserahkan kepada kontraktor, W Alvin pada 5 April lalu.

Dinesh berkata, sumbangan kedua dan ketiga itu disampaikan Ketua Komuniti India DUN Rawang Deva.

Terdahulu, EXCO pembangunan sosio ekonomi berkata dana RM1 juta disediakan untuk menjayakan inisiatif yang disalurkan terus kepada penerima tanpa melalui orang tengah atau lantikan syarikat.

Menurut V Ganabatirau, setakat ini lebih 250 permohonan untuk menyertai program I-Seed sudah diluluskan.

Permohonan I-Seed boleh dibuat menerusi ketua komuniti atau ketua kampung sebelum permohonan yang layak dinilai dan diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).


Pengarang :