BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Wakil rakyat Banting giat baik pulih prasarana, dekati pengundi muda

DILANTIK Ahli Dewan Negeri pada usia 30 tahun dan wakil rakyat paling muda di Dewan Negeri Selangor bukan halangan buat Lau Weng San, 42, menjadi ahli politik yang matang.

Sebelum ini banyak bergiat dalam persatuan pelajar di Universiti Malaya, anak kelahiran Ipoh, Perak juga pernah menjadi setiausaha politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau mula bertanding dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku. Berbekal pengalaman satu penggal, Weng San tidak berdepan masalah mempertahan kerusi sama.

Bertukar kawasan pada PRU14, beliau mencatat kemenangan di DUN Banting dengan menewaskan calon BN dan Parti Rakyat Malaysia. Wartawan SHEEDA FATHIL menelusuri perjalanan politik beliau selain mengupas usaha beliau membela segenap lapisan rakyat.

Sejak menjadi wakil rakyat, apakah masalah prasarana yang berjaya ditangani?

Selepas terpilih sebagai wakil rakyat di DUN Banting, saya dapati banyak isu setempat yang perlu diselesaikan terutama melibatkan infrstruktur. Antara masalah yang ditangani melibatkan Pasar Awam Banting yang kini dinaik taraf menjadi lebih selesa dan moden.

Saya juga menyelesaikan isu lampu jalan di Jalan Persekutuan iaitu Jalan Klang- Banting yang sebelum ini gelap tetapi berkat pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ia dapat dibaik pulih dan rakyat juga berasa lebih selamat apabila lalu di kawasan tersebut. Selain itu, demi memudahkan rakyat untuk beriadah, saya juga menambah baik gelanggang bola keranjang di beberapa tempat di sekitar DUN Banting.

ADN Banting Lau Weng San mengisi minyak motor ketika program petrol percuma anjuran Penggerak Belia Selangor DUN Banting pada 15 April 2021.

Apakah pula masalah golongan berpendapatan rendah (B40) yang berjaya diatasi?

Sejak menjadi wakil rakyat di DUN Banting, saya bersyukur kerana menyelesaikan masalah kanak-kanak tempatan yang tiada dokumen pengenalan diri. Sebanyak 60 aduan diterima sejak Mei 2018 hingga 2020 dan saya menerima 60 aduan berhubung masalah itu yang bukan sahaja dihadapi golongan bukan bumiputera tetapi ia turut dialami orang Melayu.

Susulan itu, saya terus berusaha memanjangkan isu terbabit kepada kerajaan persekutuan yang mana ketika itu ditabdir oleh kerajaan HARAPAN dan mereka memudahkan proses sekali gus membuka ruang untuk anak-anak ini melangkah ke alam persekolahan.

Berapa peratuskah penambahan jumlah pengundi baharu di kawasan YB?

Jika sebelum ini kita ada lebih kurang 31,000 pengundi sedia ada tetapi saya mengganggarkan bilangan pengundi baharu termasuk pengundi muda adalah sebanyak 10,000.

Bagaimanakah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membantu golongan berpendapatan rendah? Berapa ramaikah penduduk menikmati bantuan tersebut?

Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama kerajaan HARAPAN yang sentiasa prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat. Malah, rakyat juga memuji inisiatif dilaksanakan itu yang sangat memanfaatkan semua golongan.

Berdasarkan rekod sejak 2019 sehingga Oktober 2021, seramai 6,962 warga emas berusia 60 tahun ke atas menerima bantuan RM100 dalam bentuk baucar beli belah di pasaraya terpilih mengikut bulan kelahiran ahli melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Seramai 400 pelajar menerima bantuan persekolahan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) setiap tahun.

ADN Banting Lau Weng San membawa kerusi roda untuk diserahkan kepada keluarga memerlukan di Bandar Mahkota Banting pada 21 Ogos 2021

Selain IPR, bagaimana pula belanjawan negeri dan pakej bantuan serta sumbangan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO) membantu meringankan beban penduduk?

Sepanjang pandemik Covid-19 ramai individu yang terjejas pendapatan baik daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana
(M40).

Penduduk Banting amat menghargai sumbangan bukan sahaja daripada Kerajaan Negeri malahan tidak kurang juga bantuan daripada PBT, GLC, NGO yang tidak putus-putus menyumbang. Saya berterima kasih kepada mereka kerana memberi bantuan bakul makanan, wang tunai dan turun padang membantu mengeluarkan mangsa ketika banjir dan membersihkan kawasan mangsa bah bagi pasca banjir.

Malah, rakyat Banting juga menyambut baik inisiatif Data Internet Selangor iaitu internet percuma yang memudahkan mereka untuk berkomunikasi, belajar dan bersosial. Sekiranya ada kemampuan saya bercadang inisiatif ini diteruskan dan terus diperkasakan dan pada masa sama berusaha untuk membaiki infrastruktur telekomunikasi supaya masyarakat di luar bandar juga dapat menikmati data internet
berkelajuan tinggi seperti penduduk bandar.

Apakah pula inisiatif sendiri yang YB lakukan untuk membantu penduduk dan membangunkan DUN sejak menjadi wakil rakyat?

Ketika pandemik Covid-19, ramai yang terjejas dan memerlukan perkhidmatan sanitasi kediaman. Justeru, saya menggunakan peruntukan sendiri untuk menubuhkan Unit Tindakan DUN Banting bagi menjalankan kerja nyahkuman di kediaman yang terjejas.

Kadangkala kita juga bergerak bersama dengan pasukan sanitasi dari Majlis Perbandaran Kuala Langat. Selain itu, saya juga sering menyediakan pek bakul makanan untuk disumbangkan kepada penduduk dengan menggunakan dana sendiri.

Dalam bencana Disember lalu, apakah bentuk bantuan yang disalur kepada mangsa? Berapa ramaikah pula menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB)?

Kawasan saya tidak terjejas teruk seperti di kawasan lain. Saya berterima kasih juga kepada MPKL dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor kerana menghantar bantuan dengan pantas termasuk memberi kerjasama yang amat baik. Seramai 300 keluarga atau ketua isi rumah menerima bantuan BSB setakat ini. Terima kasih Kerajaan Selangor dan persekutuan kerana menghulurkan sumbangan kepada mangsa bah ini.

ADN Banting Lau Weng San membeli barangan keperluan untuk mangsa banjir di pusat penempatan sementara Sungai Manggis pada 21 Disember 2021.

Apakah perancangan jangka panjang untuk meningkatkan kemajuan kawasan DUN?

Saya merancang untuk menjadikan Banting dan daerah Kuala Langat khususnya sebagai destinasi pelancongan di samping berupaya menarik lebih banyak pelaburan asing. Seperti kita sedia maklum Kuala Langat ada banyak tarikan dan potensi pelancongan sebagai contoh Sungai Langat, Pantai Morib, Bukit Jugra untuk beriadah atau bermain paragliding.

Demi merancakkan lagi pembangunan di Banting, saya bercadang untuk membangunkan kawasan ini setaraf seperti bandar Puchong dan Subang Jaya. Pembangunan pesat disokong dengan pelaksanaan projek seperti Lebuhraya Persisiran Pantai Barat Banting-Taiping dan Laluan Rel Pantai Timur di Kuala
Langat. Masa depan cukup cerah.

Saya yakin Banting bakal mengalami rentak pembangunan sama seperti bandar lain Berdasarkan sambutan penduduk terhadap program dan inisiatif tersebut, adakah YB yakin sokongan rakyat meningkat seterusnya terpilih sekali lagi dalam PRU15?

Jika diizinkan saya akan bertanding lagi di DUN Banting dan saya yakin dengan inisiatif dilaksanakan selama ini oleh kerajaan HARAPAN, kita mampu untuk menang lagi pada PRU 15 akan datang.

Apakah usaha yang digerakkan pada peringkat akar umbi bagi menariksokongan pengundi baharu termasuk Undi 18 dan pengundi pertama kali?

Penggerak Belia Selangor (PeBS) kita banyak menganjurkan program untuk mendekatkan wakil rakyat dengan orang muda, malah pada Januari lalu kita juga telah menganjurkan program minyak percuma yang rata-rata penunggang motosikal adalah terdiri daripada golongan muda.

Selain itu, saya turut menggunakan dana sendiri untuk beli sebuah komik bertajuk #Undi18 yang diterbitkan Dr Maszlee Malik untuk diedar kepada anak muda ini bertujuan memberi pemahaman kepada mereka berhubung Undi 18. Saya yakin mereka pasti suka kerana bahan bacaan seperti komik ini berbentuk hiburan santai tetapi penuh pengetahuan.

Sebelum ini saya turut meminta PeBS DUN Banting mengadakan lawatan anak muda ke Dewan Negeri Selangor dan Parlimen setiap kali ia bersidang. Dengan cara ini mereka mungkin lebih nampak tugas sebagai wakil rakyat. Dua tahun kita tidak dapat melaksanakan kerana pandemik dan mungkin apabila keadaan semakin pulih kita cuba mengadakannya lagi.

ADN Banting Lau Weng San bersama kariah Sungai Manggis mengacau bubur lambuk sempena Ramadan pada 25 April 2021.

Pandangan mengenai perpecahan pembangkang hingga muncul parti baharu termasuk Muda?

Nasihat saya kepada Muda supaya mereka bekerjasama dan berunding dengan rakan lain seberapa banyak mereka mahu tetapi Selangor ialah sebuah negeri HARAPAN, hanya dengan tiga parti PKR, DAP dan Amanah cukup untuk kita menang sebagai kerajaan. Sekiranya Muda mahu bertanding di Selangor mereka perlu menilai apa sumbangan dan kekuatan mereka terlebih dahulu.

Adakah ia menjejaskan sokongan di Selangor ketika imej Umno kekal negatif?

Ia sama sekali tidak menjejaskan kerana Selangor sudah ada parti HARAPAN yang mendapat sokongan majoriti rakyat. Kita yakin HARAPAN sentiasa stabil dan kukuh.


Pengarang :