Pengerusi MPN KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari ketika hadir ke Majlis Pelancaran Gagasan #KITASEMUAKEADILAN di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 7 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ahli KEADILAN harus pilih calon tahan uji, nilai rekod pencapaian pemimpin

PETALING JAYA, 7 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mengajak ahli memilih calon berdasarkan rekod pencapaian bagi melonjakkan semula sokongan rakyat terhadap parti tersebut.

Menegaskan pemilihan bagi penggal 2022/2024 harus dijalankan dengan semangat ukhuwah dan setiakawan, Dato’ Seri Amirudin Shari juga mengingatkan ahli harus tenang, bermunasabah dan mengundi berasaskan maklumat.

“Kita memilih dengan melihat ‘track record’ (rekod pencapaian). Mereka yang tahan uji, cekal, berhikmah, tenang, semangat berpasukan dan tuntas melaksanakan amanah mentadbir,” katanya dalam majlis pelancaran Gagasan #KitaSemuaKEADILAN di sini petang tadi.

Program anjuran KEADILAN Selangor itu bertujuan memperkenal calon dan visi mereka untuk perjuangan parti sempena pemilihan pimpinan bagi penggal 2022/2024.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar menegaskan kesetiaan terhadap parti harus dizahir dengan bekerja keras ketika musibah menimpa rakyat termasuk penularan Covid-19 dan banjir besar.

Pengerusi MPN KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Pelancaran Gagasan #KITASEMUAKEADILAN di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 7 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kita di Selangor, saya bersama sahabat-sahabat pimpinan Selangor dan akar umbi membanting tulang menyelamatkan nyawa, menjaga keperluan asas dan membina semula kehidupan rakyat Selangor pascapandemik dan banjir.

“Kita tidak hilang dari medan perjuangan, apabila KEADILAN dikritik kiri dan kanan, kita tidak bercuti, kita setia dengan bekerja,” kata Amirudin yang bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan kali ini.

Dalam pemilihan KEADILAN, seramai 11,282 calon peringkat cabang dan jawatan tertinggi bertanding dalam pengundian yang dijadual berlangsung pada bulan ini.


Pengarang :