Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor: Bekalan air ke kawasan terjejas mula disalur jam 9 malam

SHAH ALAM, 3 MEI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bekalan air bersih ke 472 kawasan di lima wilayah yang terjejas akan mula disalurkan secara berperingkat mulai jam 9 malam ini.

Menurut Air Selangor di Facebook, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah mula beroperasi pada jam 3.30 petang tadi dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi esok.

“Bagi kawasan terjejas yang menerima bekalan air dari LRA Bukit Tampoi, Air Selangor akan mengaktifkan sumber bekalan air alternatif dari LRA Sungai Semenyih bagi kegunaan pengguna,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tangki dan lori air akan terus digerakkan ke kawasan kritikal dan belum menerima air.

“Bekalan air alternatif akan turut diaktifkan bagi membantu pengguna,” katanya di Twitter.

LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas sementara pagi tadi berikutan pencemaran bau dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Susulan itu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual mulai jam 3 petang.

Wilayah terlibat ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan).


Pengarang :