AGENDASUKANKINI

Atlet karate Shahmalarani raih emas kumite 50kg wanita

HANOI, 18 MEI: Atlet wanita Malaysia, Shahmalarani Chandran hari ini beraksi cemerlang pada hari pertama acara karate di Sukan SEA ke-31 dengan meraih pingat emas acara Kumite 50 kilogram (kg) di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Shahmalarani yang membuat penampilan sulung pada temasya sukan dwitahunan itu, menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia bagi sukan tersebut selepas menumpaskan peserta Thailand, Chanyanut Chippensuk, dalam aksi final, hari ini.

Atlet berusia 24 tahun itu mengungguli acara berkenaan setelah wakil dari Thailand itu patah tangan dan tidak dapat meneruskan pertarungan.

Terdahulu, Shahmalarani mara ke final selepas menewaskan Ririhena Sharon Verlina dari Indonesia 9-1 di pusingan kedua dan peserta Laos Laoyang Kengthong 8-0 di pusingan ketiga.

Ketika ditemui pemberita, Shahmalarani berkata kejayaan itu adalah hasil kerja keras yang dilakukannya sejak beberapa tahun lepas bagi menghadapi temasya sukan itu.

“Memang menjadi impian saya untuk menyumbangkan pingat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA. Kejayaan ini ibarat mimpi,” katanya yang turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong perjalanan kariernya selama ini.

Sementara itu, pingat gangsa diperoleh menerusi Muhammad Aiqal Asmadie dalam acara Kata Individu lelaki yang dimenangi atlet Indonesia Ahmad Zigi Zaresta Yuda, sementara perak diraih Pham Minh Duc dari Vietnam.

– BERNAMA


Pengarang :