(Hiasan) Seorang buruh kontrak didenda RM3,000 selepas didapati bersalah menggunakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kelahiran seorang bayi perempuan dua tahun lalu. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Buruh kontrak didenda RM3,000 palsukan maklumat sijil kelahiran

IPOH, 18 MEI: Seorang buruh kontrak didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membenarkan catatan palsu dalam daftar kelahiran seorang bayi perempuan, dua tahun lepas.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Ridzuan Chan Abdullah, 49, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan jika dia gagal membayar denda. Dia membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa telah membenarkan catatan palsu dalam daftar kelahiran seorang bayi perempuan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan UTC Ipoh di sini pada 11 pagi, 10 Sept 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1)(c) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Hisam Saruddin memohon hukuman setimpal dikenakan kerana bayi itu bukan dilahirkan isteri tertuduh sebaliknya rakan isteri tertuduh, seorang warga Indonesia.

Peguam G Harbhajan Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan ini adalah kesalahan pertama anak guamnya.

-BERNAMA

 


Pengarang :