Selangorkini
Aksi gimnas berirama negara Koi Sie Yan dalam acara all-around individu wanita pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi pada 19 Mei 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Dua atlet gimnastik berirama menang emas, perak di Hanoi

HANOI, 19 MEI: Gerakan memukau ditampilkan dua gimnas berirama negara berjaya memastikan Malaysia menguasai dua tempat teratas dalam acara all-around individu wanita final pada Sukan SEA ke-31 di sini, hari ini.

Gimnas berpengalaman Koi Sie Yan, mengungguli acara tersebut sekali gus meraih pingat emas selepas mengumpul keseluruhan 109.100 mata daripada empat apparatus, manakala Ng Joe Ee meraih perak dengan kutipan 104.600 mata.

Pingat gangsa acara berkenaan menjadi milik peserta Filipina Labadan Breanna yang mengumpul 96.650 mata.

Kejayaan Sie Yan, yang membuat penampilan keempat pada Sukan SEA sejak 2015, sekali gus berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi 2019 di Filipina.

Untuk rekod, sepanjang beraksi pada Sukan SEA, Sie Yan telah meraih lima pingat emas individu ketika memulakan debut di Sukan SEA Singapura (2015) sebelum menambah pingat emas di Kuala Lumpur (2017) dan Filipina (2019).

Pada aksi hari ini, Sie Yan meraih 25.250 mata menerusi apparatus gelung, bola (29.850), riben (26.600) dan belantan (27.400), manakala Joe mengumpul 26.450 mata dalam geluang, bola (25.450), riben (26.600) dan belantan (26.400).

Malaysia dianggap sebagai kuasa besar dalam acara gimrama apabila pada Sukan SEA Manila, Filipina, kem negara membawa pulang empat pingat emas iaitu menerusi acara all-around berkumpulan, dan dua emas berjaya diraih Izzah Amzan, manakala Sie Yan memenangi emas acara apparatus riben.

Pada temasya kali ini, Vietnam hanya menyenaraikan dua kategori bagi sukan gimrama iaitu all-around individu dan berkumpulan

Ketika ditemui pemberita, Sie Yan berkata kejayaan itu membakar semangatnya untuk mencatat keputusan positif pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, Julai depan.

Gimnas berusia 23 tahun itu berkata beliau bersyukur dapat mempertahankan pingat emas pada temasya kali ini, dan mendedikasikan kemenangan tersebut kepada kedua ibu bapanya serta jurulatih, Lidia Legotina yang sentiasa memberikan sokongan dalam kerjayanya selama ini.

“Saya tidak berasa tertekan beraksi di final berbanding ketika di pusingan kelayakan. Saya hanya mahu membuat yang terbaik dan saya gembira dapat mempertahankan pingat emas,” katanya.

Acara all-around berkumpulan akan berlangsung petang ini.

-BERNAMA


Pengarang :