Seorang bekas pesakit penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) Nurazila Azren Jalani, 26, menunjukkan parut ditangannya akibat dijangkiti oleh penyakit itu dirumahnya. Selain daripada kanak-kanak, penyakit ini juga boleh dijangkiti oleh orang dewasa. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

HFMD: Keputusan tutup sekolah bergantung saranan Jabatan Kesihatan Negeri

HULU SELANGOR, 16 MEI: Keputusan untuk menutup sekolah atau taska di Selangor berikutan penularan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bergantung saranan Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat dalam tempoh terdekat selain memperinci statistik kes.

“Justeru, kita akan bermesyuarat dengan JKNS dalam tempoh terdekat bagi memperincikan statistik kes terbaharu HFMD.

“Keputusan sama ada untuk menutup sekolah atau tadika akan diputuskan selepas perbincangan khas itu nanti,” katanya pada sidang media Jelajah Kita Semua KEADILAN di Hulu Selangor semalam.

Sejumlah 6,748 kes dan 118 kluster HFMD direkodkan di negeri ini setakat 7 Mei lalu, dengan 95 peratus daripadanya melibatkan kluster taska atau tadika serta pusat jagaan harian.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman memaklumkan empat peratus daripadanya dimasukkan ke hospital bagi pemantauan lanjut manakala selebihnya menerima rawatan pesakit luar.


Pengarang :