Orang ramai yang hadir dalam majlis sambutan Aidilfitri 2022 dan Rapat Mega #Kitasemuakeadilan Cabang Tanjung Karang di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Kuala Selangor pada 15 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemimpin KEADILAN harus saling muafakat demi raih sokongan rakyat

KUALA SELANGOR, 16 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor mengajak pimpinan parti semua peringkat saling muafakat bagi meraih sokongan rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata KEADILAN mampu melakukan perubahan dan memperbaiki pentadbiran sistem sedia ada tetapi perkara itu menuntut kesungguhan bersama supaya dapat meyakinkan rakyat.

“Memang nampak mudah tetapi kita perlu bekerja dan bersatu hati. Kini, masanya kita kumpulkan kekuatan dan kemampuan untuk laksanakan tugas mendekati rakyat dari segenap kelompok.

“Penting untuk kita saling bermuafakat, baru kita dapat sokongan berkesan. Tunjukkan satu per satu program yang dilaksanakan,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.

Beliau yang bertanding jawatan naib presiden dalam Pemilihan KEADILAN berucap dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di sini semalam.

Dalam majlis sama peringkat DUN Taman Medan di Dataran Anak Muda MBPJ di sini pada 15 Mei, Amirudin berkata kestabilan politik di Selangor membantu memperkukuh pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kita berbangga dengan nilai kemajuan diperoleh (namun) kerajaan ini di bawah HARAPAN terutama KEADILAN sedia untuk membantu memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat supaya mereka mendapat pembelaan.

“Dengan kembalinya kehidupan biasa, marilah kita tanamkan azam untuk satukan rakyat negeri ini sebagaimana pendirian Kerajaan Negeri sebaik diberi mandat untuk mengekalkan kestabilan politik (dan wujudkan) muafakat yang adil,” katanya.

Amirudin antara 18 calon naib presiden selain Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad.


Pengarang :