AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ketatkan pemeriksaan fizikal, elak jangkitan HFMD di taska

SHAH ALAM, 18 MEI: Pengusaha taska di negeri ini diminta mengetatkan pemeriksaan fizikal terhadap kanak-kanak bagi mengekang jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Persatuan Taska Negeri Selangor berkata tindakan termasuk memeriksa gejala penyakit berkenaan dalam mulut serta badan selain memastikan kanak-kanak itu tidak demam.

“Pemeriksaan perlu bermula dari pintu masuk. Sekiranya ada yang bergejala, minta ibu bapa membawa anak mereka mendapatkan rawatan dan jumpa doktor.

“HFMD cepat berjangkit. Sekiranya tidak dipantau, ia boleh merebak di taska dan memberi risiko tinggi kepada kanak-kanak,” kata Mahanom Basri ketika dihubungi.

Beliau turut meminta ibu bapa supaya peka dengan keadaan sekeliling dan tidak membawa anak-anak ke tempat awam bagi mengelak jangkitan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes HFMD meningkat 15 kali ganda dengan 31,661 kes dilaporkan setakat Mei berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selangor merekodkan angka tertinggi dengan 8,864 kes diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (4,421), Sabah (2,650), Perak (2,638) dan Kelantan (2,493) sementara negeri-negeri lain kurang 1,500 kes.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jangkitan itu masih terkawal dan tiada sekolah atau taska ditutup setakat ini.


Pengarang :