Seorang petugas melakukan cerapan anak bulan ketika majlis cerapan rasmi hilal Syawal 1443 Hijrah di Menara Kuala Lumpur pada 1 Mei 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Mufti terang kriteria lihat anak bulan, tetapkan tarikh Syawal

SHAH ALAM, 2 MEI: Umat Islam di seluruh negara menyambut Syawal pada hari ini setelah diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam tadi.

Berikut penjelasan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir berhubung permulaan 1 Syawal 1443H (perbezaan menurut takwim) yang dikongsikan di Facebook rasminya.

Malaysia telah mengamalkan penggunaan Kriteria Imkanurrukyah dalam penentuan awal bulan Islam termasuklah bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah sejak tahun 1992. Kriteria ini telah ditambah baik bermula Muharram 1443H setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun. Imkanurrukyah sebagaimana diamalkan oleh Malaysia dan negara-negara serantau seperti Indonesia, Brunei dan Singapura adalah; hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut:

Ketika matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang 3 darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah.

Menurut kriteria ini, apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria yang ditetapkan pada tanggal 29 hari bulan hijriah maka keesokannya dianggap sebagai permulaan bulan baru. Namun, jika tidak maka keesokannya digenapkan menjadi 30 hari bulan.

Kriteria ini dibangunkan berdasarkan pemerhatian yang berterusan terhadap data-data dan rekod kenampakan hilal di seluruh dunia. Ia adalah kaedah alternatif menurut ilmu falak dalam membentuk satu takwim hijriah yang sistematik dan saintifik serta tidak bertentangan dengan kehendak Syarak termasuklah dalam menentukan permulaan Ramadan dan Syawal. Walau bagaimanapun, permulaan awal Ramadan dan Syawal di Malaysia adalah tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Syarak telah menetapkan kaedah yang jelas dalam penentuan awal Ramadan dan awal Syawal. Kaedah utama yang dianjurkan sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi SAW adalah berdasarkan rukyah. Hanyasanya jika hilal tidak kelihatan disebabkan mendung atau berawan, maka dalam hal ini terdapat khilaf ulamak dalam menerima hisab ahli-ahli falak menurut dalil yang pelbagai.

Walau bagaimanapun, apabila telah jelas kelihatan hilal walaupun di luar kriteria Imkanurrukyah oleh saksi yang adil maka pemerintah bertanggungjawab menyiasat dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak kesaksian tersebut. Apabila bertembung antara rukyah dan hisab maka kesaksian berdasarkan rukyah adalah lebih diutamakan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat185:

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya: Barangsiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.

Bagitu juga hadis Nabi SAW:

لاَ تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ

Maksudnya: “Janganlah kalian berpuasa sehingga melihat hilal, jangan pula kalian berbuka sehingga melihatnya, jika kalian terhalang oleh awan, maka sempurnakanlah hitungannya”. (Riwayat al-Bukhari).

Pada tanggal 29 Ramadan 1443H, rombongan jawatankuasa rukyah hilal Syawal telah melakukan cerapan di 29 buah tempat cerapan di seluruh Malaysia. Hilal telah disahkan kelihatan di salah satu lokasi cerapan rasmi di Malaysia.

Kesimpulannya, hilal Syawal 1443H telah kelihatan pada tarikh cerapan walaupun di luar kriteria Imkanurrukyah yang digunapakai. Maka, awal Syawal 1443H telah ditetapkan pada 2 Mei 2022 sebagaimana pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Selamat Menyambut ‘Idulfitri. Semoga Allah menerima segala amal baik kita di bulan Ramadan.


Pengarang :