Seorang petugas melakukan cerapan anak bulan ketika majlis cerapan rasmi hilal Syawal 1443 Hijrah di Menara Kuala Lumpur pada 1 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia amal kaedah rukyah tentukan Ramadan, Syawal sejak 1992

SHAH ALAM, 2 MEI: Malaysia menggunakan kriteria imkanurrukyah (kebolehnampakan) dalam menentukan awal bulan Islam termasuk Ramadan, Syawal dan Zulhijjah sejak 1992.

Kriteria itu ditambah baik bermula Ogos tahun lalu (Muharram 1443H) setelah kajian semakan semula data hilal (bulan sabit) dibuat bagi tempoh 30 tahun, jelas Mufti Selangor.

Menurut Dato’ Dr Anhar Opir, imkanurrukyah boleh kelihatan apabila matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang tiga darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah.

“Apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria ditetapkan pada tanggal 29 hijriah, maka esoknya dianggap permulaan bulan baru. Jika tidak, maka keesokannya digenapkan menjadi 30 hari bulan.

“Kriteria ini dibangunkan berdasarkan pemerhatian berterusan terhadap data dan rekod kenampakan hilal di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Jelas mufti, ia adalah kaedah alternatif menurut ilmu falak dalam membentuk takwim hijriah yang sistematik dan saintifik serta tidak bertentangan dengan kehendak syarak.

Bagaimanapun, Dr Anhar berkata permulaan awal Ramadan dan Syawal di Malaysia tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Jelasnya lagi, jika hilal tidak kelihatan disebabkan mendung atau berawan, maka terdapat khilaf ulamak dalam menerima hisab ahli falak menurut dalil yang pelbagai.

“Apabila jelas kelihatan hilal walaupun di luar kriteria imkanurrukyah oleh saksi yang adil, maka pemerintah bertanggungjawab menyiasat dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak kesaksian tersebut.

“Apabila bertembung antara rukyah dan hisab maka kesaksian berdasarkan rukyah adalah lebih diutamakan,” katanya lagi.

Semalam, rombongan jawatankuasa rukyah hilal Syawal membuat cerapan di 29 lokasi seluruh negara dan disahkan kelihatan di salah satu tempat sekali gus menetapkan hari raya pada 2 Mei.


Pengarang :