EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud bercakap ketika sesi taklimat program Selangor Saring di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor pantau ketat pusat jagaan kanak-kanak, kawal penularan HFMD

KLANG, 24 MEI: Kerajaan Selangor akan memantau ketat pusat jagaan kanak-kanak bagi mengawal penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata sesi taklimat dan penilaian risiko juga akan diadakan di setiap institusi jagaan negeri ini melalui pejabat kesihatan daerah (PKD).

“Amalan pembersihan yang kerap mampu membantu membasmi kuman terdapat pada permukaan dan peralatan di pusat jagaan kanak-kanak.

“Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan tidak menghantar anak-anak mereka yang tidak sihat ke Taman Didikan Kanak-Kanak, Taman Asuhan Kanak-Kanak atau pusat jagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat program Selangor Saring dan Hi-Tea bersama Media di Hotel Wyndham Acmar di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 13, 262 kes HFMD direkodkan di negeri ini setakat 21 Mei dengan 419 daripadanya dimasukkan ke wad untuk rawatan.

Menurutnya, Petaling mencatat kes tertinggi iaitu 4,155 kes diikuti Hulu Langat (2,608), Gombak (2,112), Kuala Selangor (1,277), Klang (1,122), Kuala Langat (732), Sabak Bernam (485), Hulu Selangor (407) dan Sepang (364).


Pengarang :